Berikutan dengan skandal ketidakaturan prosedur dan ujian keselamatan oleh Daihatsu baru-baru ini, Perodua telah pun mengeluarkan kenyataan media semalam yang telah dibuat oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad. Turut terpalit dengan isu ini, UMW Toyota juga telah mengeluarkan satu kenyataan media pada hari ini oleh Presiden UMW Toyota Motor sendiri, Datuk Ravindran K. iaitu:
Menyusul perkembangan terkini mengenai ujian keselamatan di Daihatsu Motor Co Ltd (DMC), anak syarikat Toyota, Toyota Motor Sdn Bhd (UMWT) menjamin pelanggan dan orang ramai bahawa ia komited untuk meneruskan pengurusan dengan telus dan penuh akauntabiliti.
lni berikutan kenyataan yang dikeluarkan oleh Toyota Motor Corporation (TMC) yang melaporkan ketidaksempurnaan prosedur dalam ujian yang di laksanakan oleh DMC, yang memberi kesan kepada tiga model Toyota yang diedarkan oleh UMWT di Malaysia.
Presiden UMW Toyota Motor,Datuk Ravindran K. berkata, “Kami ingin menekankan komitmen kami dalam mengekalkan piawaian dan kualiti tertinggi dalam kenderaan kami. Jangan bimbang, kami sedang berusaha untuk memastikan kesemua kenderaan kami di Malaysia mematuhi peraturan dan undang-undang yang berkaitan.”
UMWT bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa kawal selia untuk menangani isu ini secara segera dan telus, dengan komitmen untuk menyediakan kenderaan berkualiti tinggi kepada pasaran Malaysia.
Beliau meneruskan,”Kami faham betapa pentingnya kepercayaan pelanggan,dan kami berazam untuk memperkukuhkan keyakinan mereka terhadap kami. Komitmen kami terhadap kepuasan pelanggan sentiasa menjadi fokus utama kami.”
Hasil dari kenyataan media ini, UMW Toyota telah bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa untuk menangani isu ini dengan segera dan ingin mengembalikan kepercayaan dan keyakinan pelanggan kepada mereka.
Jom Baca: 420 Pembekal Akan Dibayar Ganti Rugi oleh Daihatsu