Penghantaran Proton S70 Ditunda Demi Memastikan Kualiti, Resale Value

Sudah lebih 2 bulan semenjak Proton S70 telah dilancarkan, namun kelibatnya di atas jalan raya masih tidak kelihatan sehingga ke hari ini. Proton sendiri telah mendedahkan tempoh hari pada pembentangan prestasi perniagaan bahawa sebanyak 109 unit telah didaftarkan pada tahun 2023. Kami menjangkakan bahawa itu mungkin hanya unit pandu uji dan telah diakui oleh Proton bahawa penghantaran kepada pelanggan masih belum bermula.

Menurut laporan daripada Paultan, CEO Proton, Roslan Abdullah telah menjelaskan terdapat 2 sebab kenapa penghantaran kepada pelanggan masih belum bermula semasa sesi pandu uji S70. Yang pertama, untuk memastikan kualitinya terjaga dan dalam keadaan baik merangkumi aspek alat ganti dan proses. Yang kedua, untuk mendaftarkannya pada tahun 2024 atas sebab nilai jualan balik (RV).

“Pengeluaran tidak perlahan, tetapi apa yang kami cuba jaga adalah memastikan kualitinya, kerana ini adalah model baru bagi kami, dan kami perlu memastikan kematangan kualiti alat ganti serta proses kematangan pemasangan. Stok sedang dikeluarkan, tetapi kami memeriksa secara terperinci demi memastikan kami tidak berhadapan dengan masalah sama seperti waktu kami terlalu bersemangat untuk menghantar kenderaan kepada pasaran sebelum ini,” kata Roslan.

“Kami sudah menerima pengajaran daripada apa yang berlaku sebelum ini dan kami tidak akan berbuat kesilapan yang sama, tetapi kami akan meningkatkan penghantaran bermula bulan ini,” tambah beliau tanpa merujuk kepada nama mana-mana model.

Proton S70 telah dilancarkan pada 28 November dan sudah tentu para pelanggan teruja ingin menerima kenderaan tersebut pada bulan Disember 2023. Namun, apa yang dirisaukan oleh Proton adalah nilai pasarannya akan terkesan. Meskipun untuk satu hari, isu nilai jualan balik akan datang kembali dalam masa beberapa tahun, hanya kerana terdapat perbezaan beberapa hari kenderaan tersebut didaftarkan atau diserahkan, menurut Roslan.

“Kami telah berhubung dengan pengedar kami untuk berkomunikasi dengan pelanggan kami. Tapi untuk bulan ini, kami sedang meningkatkan penghantaran. Pengeluaran adalah stabil, tetapi kami memeriksa secara teliti, memastikan kualiti dan alat gantinya, kerana beberapa alat ganti unik model ini baru dibuat oleh vendor tempatan, jadi ini adalah sesuatu yang perlu kami ambil perhatian lebih berkenaan pemeriksaan,” kata Roslan.

 

Sumber : Paultan

Gallery

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2023 Copyright. All Rights Reserved. NAZZNCO (M) SDN BHD