passionately driven

Ujian Memandu eTesting Perlu Dipantau Rapi, Elak lesen ‘terbang’ – Anthony Loke

Sistem pengujian lesen memandu secara automasi atau eTesting bakal dilaksanakan dan Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) mahu pelaksanaan ini dipantau secara rapi supaya objektifnya untuk meningkatkan integriti dan memudahkan proses auditan tidak terpesong.

Menurut Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia, Jais Abdul Karim, amat penting sekali untuk memantau rapi penggunaan sistem terbabit agar objektifnya tidak lari dari yang sudah ditetapkan. Hal ini kerana, beliau yakin ia mampu mengurangkan berlakunya isu terkait integriti dan rasuah dalam proses pemberian lesen memandu.

“Dengan sistem digital ini, terdapat kurang interaksi langsung antara calon ujian dengan anggota JPJ yang boleh mengurangkan ruang berlakunya penyelewengan.

“Menerusi penggunaan teknologi dalam ujian memandu membolehkan proses penilaian berlaku secara objektif dan konsisten dan ini dapat meningkatkan integriti keseluruhan proses, sekali gus memastikan calon dapat dinilai berdasarkan kebolehan mereka, bukan melalui pengaruh atau penyelewengan.

“Ia juga memudahkan pemantauan dan audit terhadap aktiviti ujian memandu. Rekod elektronik yang terperinci membolehkan pihak berkuasa mengesan sebarang keadaan tidak normal atau kejanggalan dengan lebih efisyen, membantu dalam mengesan dan mencegah penyelewengan.

“Bagaimanapun, adalah penting untuk terus memantau pelaksanaan dan memastikan bahawa sistem ini digunakan dengan penuh ketelusan dan keadilan bagi kepentingan semua pihak,” katanya kepada Berita Harian pada Rabu.

Kementerian Pengangkutan (MOT) telah pun melancarkan projek perintis eTesting semalam yang membolehkan calon untuk menjalani ujian tanpa pegawai JPJ di dalam kenderaan.

Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, dengan adanya pelaksanaan sistem itu, para calon boleh menjalani ujian tanpa pegawai JPJ di dalam kenderaan dan prestasi calon akan diukur menggunakan alat pengesan dan kamera dan keputusan akan dijana secara masa nyata sekali gus meningkatkan integriti proses penilaian.

Ketika ini, terdapat tiga institut memandu yang telah bersedia dengan pelaksanaan sistem eTesting iaitu Institut Memandu Surfine Hitech, Hulu Langat, Selangor; Pusat Latihan Memandu Berjaya Bhd, Ulu Tiram, Johor dan Institut Lima Bintang Abadi Sdn Bhd, Pulau Pinang.

Mengulas lanjut, Loke berkata, pelaksanaan sistem eTesting membolehkan lebih ramai calon diuji berbanding sistem ujian sedia ada iaitu kira-kira 150 calon pada satu hari.

Malah, Loke berkata, jumlah pegawai penilai JPJ yang bertugas di satu institut memandu juga boleh dikurangkan kepada dua orang berbanding enam orang ketika ini.

Kata Loke, sistem itu dapat meningkatkan integriti, pengeluaran lesen memandu, memudahkan proses auditan dan pemantauan aktiviti ujian secara elektronik.

 

Sumber : Careta

  1. hi.. Macam mana nak daftar

    • Hi. Buat masa sekarang, institut memandu yang dah melaksanakan eTesting adalah seperti berikut. Boleh contact terus dengan institut memandu ini ya.

      Institut Memandu Surfine Hitech, Hulu Langat, Selangor, Pusat Latihan Memandu Berjaya Bhd, Ulu Tiram, Johor dan Institut Lima Bintang Abadi Sdn Bhd, Pulau Pinang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Pilih Jenama Kereta

© 2023 Copyright. All Rights Reserved. NAZZNCO (M) SDN BHD