KPDN Sasar Bentang Lemon Law di Parlimen pada Mac 2025

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah mengumumkan semalam bahawa mereka akan membentangkan usul atau meminda akta baharu berkaitan Lemon Law di Parlimen pada Mac tahun hadapan.

Menurut Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali, sekumpulan pakar perunding yang terdiri daripada pakar perundangan telah dilantik oleh pihak kementeriannya bagi menyiasat dan mengkaji perundangan berkaitan Lemon Law.

“Mereka akan memulakan kerja dari Jun hingga penghujung September ini dan selepas itu, mereka akan mengemukakan laporan komprehensif untuk dibentang kepada kementerian.

“Laporan itu akan menjadi asas kepada pertimbangan bagi kementerian dapatkan keputusan dasar sama ada perlu wujud satu akta khusus bagi Lemon Law atau kita laksanakan pindaan kepada akta sedia ada,” katanya.

Empat undang-undang yang berkait rapat dengan Lemon Law di Malaysia adalah Akta Perlindungan Pengguna 1999, Akta Kontrak 1950, Akta Jualan Barangan 1957 dan Akta Sewa Beli 1967.

Tambah beliau, berdasarkan laporan pakar perunding terbabit, keputusan akan dibuat di mana ia akan dibawa ke peringkat kementerian untuk dipersetujui sehingga membawanya untuk penilaian impak kawal selia.

“Sekiranya semua telah dipersetujui termasuk Jemaah Menteri, kita akan bawa ke proses sama ada pindaan atau akta baharu di Parlimen yang disasar seawal Mac 2025,” katanya.

Dua strategi interim akan dilaksanakan oleh KPDN sebelum kerangka perundangan baharu dimuktamadkan. Antaranya ialah pendayaupayaan perlindungan pengguna iaitu penubuhan pasukan rundingan khas berkaitan aduan kenderaan bermotor di KPDN dan pengukuhan proses Tirbunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) melalui kerjasama dengan Bank Negara Malaysia (BNM).

Armizan berkata kaedah rundingan yang digunakan adalah melalui tiga pihak sahaja iaitu kementerian, pembeli dan pengedar. Antara syarat dan kriteria pelaksanaan rundingan khas dalam terma rujukan itu ialah kenderaan persendirian baharu berusia tidak melebihi enam bulan dari tarikh pendaftaran dan masih dalam tempoh waranti yang sah sepanjang tempoh kelayakan rundingan serta tidak dimodifikasi.

Beliau mengakui mekanisme aduan bagi pengguna yang berdepan isu kenderaan baharu sedia ada tidak memenuhi standard kualiti dan prestasi serta tuntutan awal dengan pemain industri kurang berjaya selain tidak dapat diselesaikan ialah mengemukakan aduan kepada KPDN melalui saluran rasmi yang disediakan.

Dalam masa yang sama, KPDN sedang dalam proses mendapatkan kerjasama BNM supaya satu penyelarasan dan penyeragaman berkaitan surat persetujuan dibuat antara institusi perbankan atau kewangan bagi membolehkan pengguna mengemukakan tuntutan tebus rugi di TTPM atau mahkamah, tambah Armizan.

Menurutnya lagi ketika ini, antara kekangan yang dihadapi ialah kesukaran mendapatkan surat persetujuan daripada bank atau institusi kewangan susulan isu pemilikan kenderaan di bawah Akta Sewa Beli 1967 atau Akta 212.

“Tafsiran pemilikan kenderaan di bawah Akta 212 adalah pemilik kenderaan merupakan bank atau institusi kewangan dan penyewa kenderaan pula merupakan pengguna dan hak milik kenderaan hanya akan diserahkan kepada pengguna apabila selesai pembayaran.

“Maka strategi kedua ini dijangka membantu para pengguna menyelesaikan tuntutan mereka di TTPM dengan jayanya,” kata beliau.

Armizan juga berkata kedua-dua strategi interim adalah intervensi oleh kerajaan bagi membantu pengguna apabila tuntutan awal dengan pemain industri kurang berjaya dan tidak dapat diselesaikan.

“Sehubungan itu, kerajaan amat berharap serta berbesar hati sekiranya pemain industri terutama industri automatif bersedia untuk menyahut hasrat kerajaan selain sedia bekerjasama melindungi hak pengguna serta memupuk pasaran yang adil dan telus,” katanya.

 

Sumber : BERNAMA

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2023 Copyright. All Rights Reserved. NAZZNCO (M) SDN BHD