Jaecoo Malaysia telah melancarkan pusat 3S pertama di Lembah Klang yang diuruskan oleh ES Premium Holdings Sdn Bhd. Dengan pembukaan pusat 3S yang pertama ini, Jaecoo merancang untuk mengembangkan lagi jenama mereka di Malaysia dengan 34 lagi wakil pengedar yang akan dibuka.
“Kami sangat teruja untuk melancarkan pengedar 3S utama kami di tengah-tengah Glenmarie Auto City, bukti kesediaan Jaecoo untuk memenuhi keperluan pelanggan di Malaysia. Kami telah melabur dalam rangkaian yang kukuh di seluruh negara untuk membawa pengalaman pemilikan premium pada hari ini dan masa hadapan. Pelaburan kami dalam pengedar utama Glenmarie, yang bernilai RM5.5 juta, merupakan petunjuk jelas komitmen kami untuk mengembangkan pasaran SUV off-road premium untuk jangka panjang,” kata Emily Lek, Naib Presiden Jaecoo Malaysia.
Bertempat di lokasi yang strategik iaitu di Glenmarie, Shah Alam, fasiliti ini bersaiz 23,000 kaki persegi di kawasan seluas 40,000 kaki persegi. Fasiliti ini mampu menempatkan 7 buah model untuk dipamerkan dengan paparan LED interaktif bagi pengunjung yang ingin mengetahui spesifikasi kenderaan tersebut.
Selain itu, pasukan juruteknik profesional dan ruang servis yang mampu menyelenggara lebih dari 500 buah kenderaan juga disediakan bagi memenuhi kehendak pelanggan yang ingin menggunakan servis selepas jualan dari Jaecoo. Sementara menunggu, para pelanggan boleh menikmati wi-fi berkelajuan tinggi yang disediakan di ruang lounge pelanggan dengan selesa.
Sebagai persediaan Jaecoo untuk memasarkan kenderaan elektriknya (EV) ke pasaran Malaysia pada masa akan datang, ruang pameran bagi EV juga telah disediakan di pusat 3S ini. Dengan 35 wakil pengedar yang akan dilancarkan, menunjukkan rangkaian perkhidmatan Jaecoo Malaysia yang kuat di mana sekitar 180 ruang servis akan tersedia di seluruh negara dan disokong penuh oleh gudang alat ganti khusus serta kilang pemasangan kenderaan yang dilancarkan baru-baru ini di Shah Alam.
“Kami bangga menjadi sebahagian daripada rangkaian pengedar Jaecoo Malaysia dan menghidupkan pengalaman premium yang diharapkan oleh Jaecoo, dan yang diperlukan oleh pelanggan. Kami berharap dapat meningkatkan pengalaman eksplorasi apabila pelanggan berkunjung ke sini dengan menyepadukan elemen digital, bersama perkhidmatan yang diberikan oleh penasihat jualan kami yang berkebolehan,” kata Fanny Yap, Pengarah Urusan ES Premium.
Model pertama Jaecoo, iaitu J7 bakal dilancarkan tak lama lagi pada 19 Julai ini dan bakal menjadi model pemasangan tempatan (CKD) pertama di Malaysia yang akan dieksport ke pasaran negara ASEAN. Pelanggan yang berminat boleh hadir ke Pusat 3S Jaecoo Glenmarie ini yang terletak di No. 2D, Jalan Pelukis U1/46, Temasya Industrial Park, Shah Alam, Selangor.