Wanita Nyaris Maut, Dihempap Kayu Balak ketika Menunggu Lampu Isyarat

Seorang wanita nyaris maut apabila dihempap beberapa kayu balak ketika sedang menunggu lampu isyarat di atas motosikal yang ditunggangnya di Persimpangan Bendahara Jalan Gua Musang-Kuala Krai semalam.

Video kamera papan pemuka dari kenderaan berdekatan telah tular di media sosial dan kejadian dipercayai berlaku pada jam 11.20 pagi.

Mangsa berusia 21 tahun, dikenali sebagai Siti Norelyana Kamaruzan, tercampak dari motosikalnya apabila lori tersebut terbalik lalu menyebabkan kayu balak terjatuh ke atas mangsa ketika sedang mengambil selekoh di laluan sebelahnya.

Melalui wawancara bersama tunangnya, Nik Amnan Arif Nik Anuwar, 22, Siti mengalami kecederaan dalaman dan sedang dirawat di Hospital Gua Musang.

“Saya mengetahui kejadian itu selepas dimaklumkan seorang rakan yang berada di tempat kejadian dan terus ke hospital untuk melihatnya. Doktor memaklumkan bahawa keadaan tunang saya kini tidak stabil,” katanya.

Menurut Nik Amnan lagi, sebelum kemalangan, tunangnya sedang dalam perjalanan untuk masuk kerja di sebuah pasar raya di Bandar Utama.

Pihak media turut mewawancara seorang saksi yang berada di tempat kejadian, Nur Aima Nadia Ariffin, 32, yang mengatakan bahawa terdapat bunyi dentuman kuat di lampu isyarat berkenaan.

“Beberapa batang kayu balak sebesar satu pemeluk dewasa berselerak di atas jalan dan menghalang keseluruhan laluan bersebelahan.

“Ketika menghampiri lokasi kejadian saya lihat terdapat seorang wanita sedang kesakitan di bawah kayu balak dan beberapa pengguna jalan raya turut keluar dari kenderaan mereka untuk cuba membantu mengeluarkan mangsa,” katanya.

Menurut Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Sik Choon Foo, kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu secara tidak cermat sehingga menyebabkan kemalangan.

 

Sumber : Kosmo!

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2023 Copyright. All Rights Reserved. NAZZNCO (M) SDN BHD