Kia Sportage 2025 Dilancarkan Secara Rasmi di KLIMS 2024 – CKD, Harga Bermula RM145,999

Dinamikjaya Motors Sdn Bhd, pengedar rasmi jenama Kia di Malaysia, telah melancarkan Kia Sportage 2025 di Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2024. Tempahan juga kini telah dibuka dengan harga bermula RM145,999 untuk 4 varian sebagai pilihan.

Model ini berukuran 4,660 mm panjang, 1,865 mm lebar, 1,660 mm tinggi dengan jarak antara roda 2,755 mm. Ia memiliki ruang penyimpanan barangan di belakang berkapasiti 542 liter dan meningkat hingga 1,829 liter sekiranya tempat duduk belakang dibaringkan.

Bagi varian 2.0 dan 2.0 High, ia didatangkan dengan enjin Smartstream 2.0L MPI empat-silinder sebaris DOHC D-CVVT yang mampu menjana kuasa sebanyak 154 HP dan 192 Nm tork.  Kelajuan maksimumnya pula sehingga 175 km/j dan penggunaan bahan api didakwa pada 7.5 liter bagi setiap 100 km bersama dengan kotak gear automatik enam-kelajuan.

Bagi varian 1.6T High dan 1.6T High AWD, ia menerima enjin Gamma II 1.6 T-GDI empat-silinder sebaris D-CVVT yang mampu menjana kuasa sebanyak 177 HP dan 265 Nm tork.  Kelajuan maksimumnya pula sehingga 201 km/j dan penggunaan bahan api didakwa pada 6.3 liter bagi setiap 100 km bersama dengan transmisi DCT e-Shift tujuh-kelajuan.

Untuk rekaan luaran, gril hitam lebar yang merentasi bahagian hadapan menggabungkan reka bentuk ikonik Tiger Nose Kia dengan Lampu LED Siang Hari (DRL) berbentuk boomerang futuristik, membentuk lampu hadapan LED Matrix yang tajam.

Di bahagian sisi, Sportage memperlihatkan identitinya dengan garis-garis tajam melintasi badan yang licin, menghasilkan profil yang halus dan bergaya. Garisan krom di sisi naik ke arah belakang, bertemu dengan spoiler untuk menonjolkan reka bentuknya yang sporty dan elegan.

Beralih kepada bahagian dalaman, ia menerima sistem infotainment dengan pengesan suara bersaiz 8 inci bersambung dengan meter kluster dalam bentuk melengkung, sistem pendingin hawa dua-zon automatik, sambungan Android Auto dan Apple CarPlay, ambient lighting, Electric Parking Brake (EPB) dan kamera undur.

Dipasang secara tempatan (CKD) di Kilang Inokom di Kulim, Kedah, 4 pilihan warna luaran akan ditawarkan iaitu Astra Blue, Meteor Gray, Jet Black dan Snowflake White Pearl.

Waranti 5 tahun/100,000 km dari pengilang dan 5 tahun percuma pakej servis penyelenggaraan akan diberikan kepada semua pemilik Kia Sportage 2025. Berikut adalah harga jualan Kia Sportage (on-the-road tanpa insurans):

Kia Sportage 2.0L : RM145,999

Kia Sportage 2.0L High : RM155,999

Kia Sportage 1.6T High : RM175,999

Kia Sportage 1.6T High AWD : RM185,999

Orang ramai yang berminat untuk melihat model terbaru Kia Sportage 2025 ini boleh berkunjung ke Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2024 bermula 5 Disember sehingga 11 Disember ini di MITEC, Kuala Lumpur.

Gallery

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2023 Copyright. All Rights Reserved. NAZZNCO (M) SDN BHD