Sistem HS-WIM Dijangka Mula Beroperasi Suku Ketiga Tahun Ini, Kamera AwAS Terima Penambahbaikan

Sistem HS-WIM Dijangka Mula Beroperasi Suku Ketiga Tahun Ini, Kamera AwAS Terima Penambahbaikan

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, hari ini turut mengumumkan sistem High Speed – Weight in Motion (HS-WIM) dijangka akan mula beroperasi pada suku ketiga tahun ini untuk memantau muatan kenderaan berat secara automatik. 10 lokasi di seluruh negara telah dikenal pasti oleh Kementerian Pengangkutan (MOT) untuk memasang sistem HS-WIM.

“Pelan induk melibatkan penguatkuasaan melalui HS-WIM akan dibangunkan bertujuan memperbanyak pemasangan sistem ini di tempat hot spot, seperti kawasan berisiko tinggi kemalangan dan aliran trafik yang tinggi.

“Saya telah memberikan arahan minggu lepas bahawa kita tidak mahu lagi melengahkan pelaksanaannya sebab tahun lepas kita telah buat bukti konsep dan ia telah pun siap, maka tahun ini mesti mula dengan pemasangan HS-WIM,” katanya.

Menurut Anthony, pemasangan HS-WIM merupakan satu inisiatif baharu untuk memantau kenderaan-kenderaan berat yang melebihi had muatan di atas jalan raya.

“HS-WIM ini menggunakan teknologi kamera … (kenderaan berat) lalu sahaja di sesuatu kawasan, adanya sensor, kita akan tahu sama ada kenderaan itu melebihi had muatan atau tidak dan kenderaan itu akan dirakamkan kamera.

“Jadi, kita akan tahu waktu kenderaan berat itu lalu di sana pukul berapa, berapa berat muatan, jadi kalau kenderaan lebih muatan, kita boleh keluarkan saman kepada pemilik kenderaan terbabit.

“Berbanding cara sekarang ini sangat manual. Kita kena tahan lori itu dan bawa ke stesen penimbang, baru kita dapat tahu sama ada ia melebihi had muatan atau tidak,” katanya.

Sementara itu, Loke turut berkongsi penambahbaikan yang akan dilakukan pada sistem kamera “Automated Awareness Safety System” (AwAS), di mana mereka akan melaksanakan kaedah point-to-point berbanding kaedah statik, lapor Sinar Harian.

“Apa yang kita nak menjurus kepada pendekatan baharu ialah kita sudah ada teknologi baharu … kita akan lihat di antara dua titik checkpoints. Kita tidak mahu pemandu memperlahankan kenderaan hanya di depan kamera itu, tetapi (perlahan) dalam satu jarak yang tertentu.

“Katakan di antara titik A dengan titik B, kita ingin tahu pemandu menggunakan masa berapa lama. Kalau dia menggunakan kurang daripada masa yang sepatutnya, maksudnya dia pecut dan akan dikenakan tindakan (saman),” katanya.

Untuk permulaan, penambahbaikan ini akan dilaksanakan di kawasan-kawasan yang berisiko tinggi dan cenderung untuk kemalangan seperti Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KLK) di Genting Sempah dan Terowong Menora, Ipoh.

“Objektif kita adalah untuk memastikan kenderaan itu perlahan terutamanya bas dan sebagainya supaya pemandu tidak memecut semasa mereka turun bukit.

“(Kaedah) sekarang kurang berkesan walaupun kita pasang kamera, kenderaan hanya perlahan di tempat itu dan selepas itu dia pecut semula,” katanya.

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD