NAZZ&CO Media

Malaysia's Automotive,
Travel & Lifestyle Media Powerhouse

Malaysia Bakal Guna Teknologi AI Untuk Meningkatkan Kualiti Jalan Raya – Nanta

Malaysia Bakal Guna Teknologi AI Untuk Meningkatkan Kualiti Jalan Raya – Nanta

Malaysia terus bergerak ke hadapan dalam meningkatkan pengurusan jalan raya dengan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI), sekali gus menjadikan sistem jalan dan infrastruktur lebih cekap, selamat dan berkesan.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata Malaysia bukan sekadar memerhati penggunaan teknologi ini di negara lain, sebaliknya sedang menggunakannya dalam pengurusan jalan raya di negara ini.

“Dengan teknologi pintar seperti dron, sensor dan Internet of Things (IoT), kita boleh kesan kerosakan jalan secara serta-merta. AI membantu kita menganalisis data ini untuk kenal pasti kawasan yang perlu dibaiki segera dan juga untuk meramalkan kerosakan pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa pembentangan bertajuk Malaysia’s Future-Ready, Hyper-Connected Cities: Policies, Progress and the Path Ahead di Forum Intelligent Transport Systems (ITS) Asia Pacific 2025 di Suwon, Korea Selatan.

Nanta turut berkongsi hala tuju strategik Kementerian Kerja Raya melalui Pelan Hala Tuju ITS Malaysia 2030, yang berhasrat mewujudkan mobiliti negara yang lebih selamat, terhubung dan mampan.

Beliau menjelaskan bahawa ITS kini menjadi keperluan asas dalam pembinaan bandar masa depan yang kukuh, cekap dan mesra alam. Pelan Hala Tuju ITS Malaysia 2030 ini akan menjadi panduan utama dalam pembangunan sistem pengangkutan pintar di Malaysia.

Menurut laporan Bernama, lima teras dasar akan menjadi asas pelaksanaan pelan ini adalah pengangkutan pintar yang lancar, mobiliti hijau dan mampan, perkhidmatan awam yang lebih baik melalui pendigitalan, ekosistem pengangkutan yang selamat dan terjamin serta penggunaan data untuk perancangan mobiliti dan pengangkutan.

“Semua perancangan ini boleh dilaksanakan. Malaysia akan terus berinovasi, melabur dan bekerjasama untuk membina negara yang sangat terhubung,” katanya.

Nanta turut menyebut beberapa perubahan penting dalam sistem pengangkutan di Malaysia termasuk pembangunan kenderaan autonomi (tanpa pemandu), penggunaan kenderaan elektrik dalam pengangkutan awam, sistem tol Multi-Lane Free Flow (MLFF), dan penubuhan Pusat Pengurusan Trafik Pintar Negara (NITMC).

Beliau berkata semua inisiatif ini menunjukkan komitmen kuat Malaysia dalam membina sistem pengangkutan yang lebih selamat, cekap dan mampan, selaras dengan visi negara untuk membentuk bandar hiper-terhubung.

Melissa Alias

Melissa Alias merupakan antara pelopor terawal meja editorial NAZZ&CO™ Media. Dengan kepakaran meluas dalam kewartawanan automotif, beliau telah mengendalikan ratusan liputan eksklusif pelancaran model baharu, analisis insiden jalan raya, dan laporan siaran media rasmi yang membentuk asas kukuh kewartawanan digital portal ini.
    2.7 Million+ Followers & Readers
    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD
    Privacy Policy Cookie Policy