64 Peratus Syarikat Kenderaan Perdagangan Gagal Patuhi Peraturan Keselamatan – JPJ

64 Peratus Syarikat Kenderaan Perdagangan Gagal Patuhi Peraturan Keselamatan – JPJ

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mendedahkan bahawa 64% syarikat kenderaan perdagangan yang diperiksa dalam Operasi Khas Audit Keselamatan (Ops Khas JISA) gagal mematuhi peraturan keselamatan yang diwajibkan.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli, berkata operasi yang bermula pada 23 Jun itu melibatkan audit ke atas 133 syarikat pengangkutan perdagangan di seluruh negara.

Daripada jumlah itu, 85 syarikat gagal mematuhi garis panduan keselamatan JISA, termasuk 43 pengendali lori dan 42 pengendali bas pelancongan serta bas ekspres. Hanya 48 syarikat yang lulus audit, menurut laporan Bernama.

Antara kesalahan utama ialah kegagalan melantik pegawai keselamatan dan kesihatan pekerjaan, tiada pemasangan GPS pada kenderaan, serta pemantauan GPS yang lemah.

Banyak syarikat juga tidak merekod waktu kerja pemandu, yang sepatutnya tidak melebihi lapan jam sehari, dan tidak menyediakan rehat minimum 30 minit setiap empat jam memandu. Ada juga syarikat yang langsung tidak mempunyai pelan tindakan keselamatan dan tidak memaparkan nombor aduan atau nama pegawai bertanggungjawab di kenderaan mereka.

JPJ akan menyerahkan senarai syarikat yang gagal patuh kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk tindakan lanjut, termasuk kemungkinan penggantungan atau pembatalan lesen operasi.

Aedy Fadly menegaskan bahawa JPJ tidak akan berkompromi dalam isu keselamatan dan akan terus mengambil tindakan tegas demi meningkatkan keselamatan jalan raya serta menjaga integriti sistem pengangkutan negara.

Beliau turut mengumumkan bahawa bermula 1 Julai, JPJ akan menguatkuasakan pemakaian tali pinggang keledar secara berperingkat bagi semua bas ekspres, bas pelancongan, dan kenderaan barangan. Fasa pertama akan memberi tumpuan kepada pemandu dan penumpang bas ekspres serta pelancongan. Peraturan ini sudah diwajibkan untuk bas yang didaftarkan selepas 1 Januari 2020.

Sebelum ini, JPJ hanya memberi penekanan kepada pendidikan dan kesedaran, tetapi mulai Julai, penumpang yang tidak memakai tali pinggang keledar akan dikenakan tindakan.

Bagi bas lama yang belum dilengkapi tali pinggang keledar, JPJ akan mengeluarkan arahan pemasangan dalam tempoh yang akan ditetapkan berdasarkan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang sedang dibangunkan bersama pihak industri.

Kegagalan mematuhi arahan ini boleh menyebabkan denda RM300, bukan sahaja kepada penumpang dan pemandu, malah tindakan undang-undang juga boleh dikenakan ke atas syarikat bas yang tidak memastikan keselamatan penumpang.

Aedy Fadly turut berkata kebanyakan bas kini dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV), dan JPJ akan menggunakan rakaman video sebagai bukti untuk mengambil tindakan ke atas pemandu yang tidak memastikan penumpang memakai tali pinggang keledar.

Beliau juga memaklumkan bahawa peraturan yang sama akan dikuatkuasakan ke atas pemandu dan penumpang kenderaan barangan yang mempunyai berat maksimum dibenarkan sehingga 3,500 kilogram.

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD