Chery Malaysia telah melancarkan secara rasmi model Tiggo Cross, sebuah SUV kompak, ke dalam pasaran Malaysia. 2 varian telah ditawarkan dengan harga jualan bermula RM88,800 untuk varian Turbo dan RM99,800 untuk varian Hibrid CSH.
Model ini berukuran 4,318 mm panjang, 1,830 mm lebar, 1,670 mm tinggi dengan jarak antara roda 2,610 mm. Ia memiliki ruang penyimpanan barangan di belakang berkapasiti 380 liter dan meningkat hingga 1,025 liter sekiranya tempat duduk belakang dibaringkan.
Bagi varian Turbo, ia didatangkan dengan enjin 1.5 liter turbo yang mampu menjana sebanyak 147 PS dan 210 Nm tork, digandingkan bersama kotak gear klac berkembar automatik 6-kelajuan. Pecutan 0 hingga 100 km/j selama 10.3 saat.
Bagi varian Hibrid CSH, ia menerima unit rangkaian kuasa Chery Super Hibrid bersama dengan enjin 1.5 liter empat silinder NA, menjana sebanyak 96 PS dan 120 Nm tork. Digandingkan bersama 2 buah motor elektrik dan kotak gear khas hibrid DHT, mampu menjana sebanyak 204 PS dan 310 Nm tork. Pecutan 0 hingga 100 km/j berkurang kepada 8.9 saat.
Dari segi rekaan, SUV ini tampil dengan rekaan gril hadapan dengan kemasan hitam, lampu utama LED yang direka semula, bampar yang lebih tajam, serta bar lampu belakang LED penuh lebar. Turut melengkapi penampilan luaran ialah spoiler bumbung dan rel bumbung, menambah karakter sporty dan moden kepada SUV ini.
Untuk bahagian dalam, ia lengkap dengan paparan berkembar 10.25 inci untuk kluster instrumen digital dan sistem infotainmen. Ciri-ciri lain termasuk tempat duduk dengan balutan kulit sintetik, pencahayaan ambien, kawalan suhu dua zon dengan corong belakang, serta tempat duduk pemandu larasan elektrik. Tidak dilupakan, sokongan Android Auto dan Apple CarPlay, bersama pengecas tanpa wayar 15W untuk kemudahan sepanjang perjalanan.
Untuk varian Turbo, ia menerima 3 mod pemanduan – Normal, Sport dan Eco serta rim aloi bersaiz 18 inci manakala varian Hibrid hanya menerima 2 mod pemanduan – Normal dan Sport serta rim aloi bersaiz 17 inci.
Kedua-dua varian menerima sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) seperti Adaptive Cruise Control, Lane Departure Warning dan lain-lain secara standard. Namun, varian Hibrid menerima 7 beg udara dan varian Turbo hanya menerima 6 beg udara.
Model ini bakal ditawarkan dalam 3 pilihan warna iaitu Phantom Grey, Carbon Crystal Black dan Khaki White. Varian Hibrid menerima Moonlight Silver manakala varian Turbo menerima Bloodstone Red sebagai pilihan warna tambahan.
Waranti selama 7 tahun/150,000 km bersama khidmat trak tunda percuma 24/7, dan juga pakej servis percuma selama 5 tahun untuk Tiggo Cross ini. Manakala untuk varian hibrid HEV, pek bateri, motor elektrik dan juga unit kawalan hibrid diberikan waranti selama 8 tahun/160,000 km. Istimewa untuk 2,000 pelanggan pertama, pakej servis percuma (termasuk kod buruh dan alat ganti) selama dua tahun akan diberikan.