NAZZ&CO Media

Malaysia's Automotive,
Travel & Lifestyle Media Powerhouse

KKR Rekod Kerosakan Jalan Bernilai RM94 Juta Akibat Banjir pada Tahun 2024

KKR Rekod Kerosakan Jalan Bernilai RM94 Juta Akibat Banjir pada Tahun 2024

Kementerian Kerja Raya (KKR) melaporkan bahawa banjir pada tahun 2024 telah menyebabkan kerosakan bernilai RM94.17 juta, kebanyakannya melibatkan infrastruktur seperti jalan raya, menurut laporan Bernama.

Menteri Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kebanyakan kerosakan akibat banjir tahun lalu sudah dibaiki, termasuk di Terengganu (RM22.13 juta), Kelantan (RM20.38 juta) dan Perak (RM33.4 juta).

Beliau berkata, ini menunjukkan kerajaan sentiasa prihatin terhadap kawasan yang terjejas akibat Monsun Timur Laut dan banjir. Bantuan telah disalurkan dan kerja-kerja pembaikan telah diselesaikan.

Beliau berkata demikian semasa lawatan ke projek naik taraf jambatan Marang. Nanta turut menyatakan bahawa kementerian bersiap sedia menghadapi musim monsun seterusnya yang dijangka hujung tahun ini.

Salah satu persediaan ialah penubuhan Bilik Gerakan Bencana yang akan menerima maklumat dan aduan berkaitan kerosakan infrastruktur akibat banjir.

Bilik gerakan ini beroperasi sepanjang tahun, namun akan dipertingkatkan aktivitinya semasa musim monsun. Kementerian akan memantau semua kawasan terjejas di seluruh negara.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu, Datuk Hanafiah Mat, berkata hampir 90% jalan yang rosak akibat banjir di negeri itu telah dibaiki oleh kerajaan persekutuan melalui KKR.

Hanya satu jalan yang belum dibaiki iaitu cerun jalan di Bukit Besi, Dungun. Difahamkan, tender untuk kerja-kerja pembaikan itu akan dibuka dalam masa dua bulan. Beliau turut berterima kasih kepada kerajaan persekutuan dan KKR atas usaha pembaikan, serta menghargai keprihatinan Menteri Nanta yang turun padang memeriksa sendiri kemajuan kerja.

Melissa Alias

Melissa Alias merupakan antara pelopor terawal meja editorial NAZZ&CO™ Media. Dengan kepakaran meluas dalam kewartawanan automotif, beliau telah mengendalikan ratusan liputan eksklusif pelancaran model baharu, analisis insiden jalan raya, dan laporan siaran media rasmi yang membentuk asas kukuh kewartawanan digital portal ini.
    2.7 Million+ Followers & Readers
    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD
    Privacy Policy Cookie Policy