GWM Malaysia telah memperkenalkan varian baharu untuk model Haval H6 HEV, yang kini hadir dengan rekaan dalaman baharu berwarna Phantom Black yang lebih bergaya.
Penambahan warna dalaman hitam ini memberikan sentuhan premium dan sporty pada model ini, menjadikannya lebih menarik kepada pemandu Malaysia. Ia juga menambah variasi pilihan dalaman sedia ada, memberi lebih kebebasan kepada pelanggan untuk memilih mengikut gaya peribadi mereka.
Menurut Ketua Pegawai Operasi GWM Malaysia, Roslan Abdullah, ramai pelanggan menggemari rekaan dalaman yang moden dan kemas. Beliau berkata GWM berbangga dapat memenuhi permintaan ini sambil terus menawarkan prestasi hebat dan nilai terbaik.
Tambahnya lagi, pemandu Malaysia bijak dan faham bahawa nilai sebenar bukan hanya pada harga tetapi dengan H6 HEV, pelanggan mendapat spesifikasi premium, prestasi kukuh dan kebolehpercayaan yang terbukti.
Ciri-ciri utama H6 HEV yang lain masih kekal sama. Bagi enjin, ia dikuasakan oleh enjin hibrid 1.5L turbocaj yang menggabungkan kuasa elektrik dan petrol, menghasilkan kuasa gabungan sebanyak 243 PS dan 530 Nm tork. Penggunaan bahan apinya serendah 5.8L/100km dan mampu mencapai jarak sehingga 1,000 km dengan satu tangki penuh.
Bagi menambah nilai, GWM kini menawarkan promosi terhad yang termasuk penjimatan sebanyak RM6,600 serta waranti bateri HEV selama 10 tahun. Pelanggan dijemput untuk mengunjungi bilik pameran GWM di seluruh negara untuk melihat sendiri varian baharu ini.