NAZZ&CO Media

Malaysia's Automotive,
Travel & Lifestyle Media Powerhouse

PLUS Bakal Mula Ujian Perintis Sistem Pembayaran Tol Tanpa Palang Guna ANPR Bermula Oktober

PLUS Bakal Mula Ujian Perintis Sistem Pembayaran Tol Tanpa Palang Guna ANPR Bermula Oktober

Malaysia kini semakin hampir ke arah pelaksanaan sistem kutipan tol tanpa palang, atau Multi-Lane Fast Flow (MLFF), yang dijangka diperkenalkan pada tahun 2027. Sebagai persediaan, pihak PLUS Malaysia akan memulakan ujian perintis untuk sistem Automatic Number Plate Recognition (ANPR) bermula Oktober ini.

Fasa percubaan akan dimulakan di bahagian Utara lebuh raya, melibatkan laluan antara Plaza Tol Hutan Kampung dan Sungai Dua di Pulau Pinang. Sebanyak 13 plaza tol dengan 35 lorong akan terlibat dalam fasa ini sebelum sistem diperluaskan ke seluruh rangkaian lebuh raya PLUS.

Pengguna yang ingin menggunakan sistem ini perlu muat turun aplikasi JustGo oleh PLUS, mendaftar secara percuma dan mengisi maklumat seperti nombor plat kenderaan serta pilihan pembayaran (kad debit/kredit atau eWallet TnG).

Kamera ANPR yang dipasang akan membaca nombor plat kenderaan secara masa nyata dan secara automatik akan menolak bayaran dari akaun pengguna yang telah didaftarkan apabila mereka melalui tol yang mengambil bahagian. Namun, buat masa ini lorong tol masih lagi menggunakan palang.

Selain untuk pembayaran tol, aplikasi JustGo turut menawarkan fungsi lain seperti e-invois, rekod transaksi tol dan pelbagai ciri mobiliti yang akan ditambah secara berperingkat.

Menurut Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, sistem tol terbuka ANPR ini bertujuan menjadikan perjalanan di lebuh raya lebih mudah dan lancar, selain menjadi langkah awal menuju sistem MLFF.

“Saya percaya sistem ini akan bantu industri bersedia untuk pelaksanaan MLFF. Lebih membanggakan, ia dibangunkan oleh pakar lebuh raya tempatan dan tidak melibatkan perbelanjaan kerajaan,” katanya.

Percubaan ini juga memberi peluang kepada kerajaan untuk menguji keberkesanan sistem dalam situasi trafik sebenar, sebelum pelaksanaan penuh MLFF pada tahun 2027. – Paultan

Melissa Alias

Melissa Alias merupakan antara pelopor terawal meja editorial NAZZ&CO™ Media. Dengan kepakaran meluas dalam kewartawanan automotif, beliau telah mengendalikan ratusan liputan eksklusif pelancaran model baharu, analisis insiden jalan raya, dan laporan siaran media rasmi yang membentuk asas kukuh kewartawanan digital portal ini.
    2.7 Million+ Followers & Readers
    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD
    Privacy Policy Cookie Policy