PDRM Cadang Kajian Keselamatan Jalan Raya Libatkan Pemandu Warga Emas

PDRM Cadang Kajian Keselamatan Jalan Raya Libatkan Pemandu Warga Emas

Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggesa supaya isu keselamatan jalan raya melibatkan pemandu berusia 61 tahun ke atas diberi perhatian, susulan jumlah kematian yang tinggi dalam kalangan kumpulan ini sepanjang enam tahun lalu.

Berdasarkan data kemalangan yang direkodkan PDRM bagi tempoh 2019 hingga 2024, seramai 19,812 pemandu dalam lingkungan umur tersebut terlibat dalam kemalangan jalan raya. Daripada jumlah itu, 6,733 maut, 2,132 cedera parah, manakala 10,947 mengalami kecederaan ringan.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, berkata cadangan itu bukan bertujuan untuk menghalang warga emas daripada memandu, tetapi untuk mewujudkan mekanisme penilaian kesihatan pemandu berusia agar keselamatan semua pengguna jalan raya terjamin.

Beliau menegaskan penilaian tidak seharusnya berasaskan umur semata-mata, sebaliknya perlu mengambil kira tahap kesihatan dan keupayaan memandu individu tersebut.

“Umur bukan penghalang untuk memandu secara berhemah, namun keselamatan melibatkan pemandu warga emas perlu diambil kira,” katanya.

Mohd Yusri turut menekankan bahawa semua pihak berkepentingan perlu menjalankan kajian menyeluruh sebelum sebarang keputusan dibuat, terutamanya oleh Kementerian Pengangkutan.

“Kami faham, tidak mudah untuk menghalang kumpulan ini daripada memandu kerana faktor budaya di Malaysia. Ada yang memandu untuk ke surau, menjemput cucu dari sekolah, dan sebagainya,” ujarnya.

Cadangan ini pernah dibangkitkan pada tahun 2021 apabila JSPT mencadangkan syarat khas dikenakan bagi pembaharuan Lesen Memandu Malaysia (LMM) kepada warga emas, termasuk pemeriksaan doktor untuk mengesahkan mereka sihat dan layak memandu. Ia turut mencadangkan tempoh pembaharuan lesen warga emas dipendekkan.

Bagaimanapun, cadangan tersebut tidak dilaksanakan. Tahun lalu, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) turut mencadangkan pemandu berusia 65 tahun ke atas menjalani penilaian kompetensi dan kesihatan sebelum lesen mereka diperbaharui.

Cadangan itu akhirnya mencetuskan khabar angin kononnya pemeriksaan fizikal akan diwajibkan untuk warga emas sebelum memperbaharui LMM, namun Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menafikan perkara tersebut dan mengesahkan tiada syarat tambahan dikenakan ketika ini. – Utusan Malaysia 

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD