NAZZ&CO Media

Malaysia's Automotive,
Travel & Lifestyle Media Powerhouse

Lebih 60% Syarikat Kenderaan Komersial Gagal Patuhi Standard Keselamatan – JPJ

Lebih 60% Syarikat Kenderaan Komersial Gagal Patuhi Standard Keselamatan – JPJ

Lebih 60 peratus daripada 500 syarikat kenderaan komersial yang diaudit menerusi Operasi Khas Garis Panduan Sistem Audit Keselamatan (Ops Khas JISA) gagal mematuhi standard keselamatan, kebanyakannya disebabkan pemasangan peranti GPS yang tidak sempurna, menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata audit yang dijalankan dari 23 Jun hingga 31 Julai itu merupakan fasa pertama daripada usaha menyeluruh di seluruh negara yang menyasarkan kira-kira 300,000 pengendali kenderaan komersial.

“Hasilnya agak mengecewakan. JPJ akan meneruskan audit seterusnya bagi memastikan pematuhan,” katanya selepas merasmikan pelancaran pembayaran tanpa tunai melalui e-dompet di kaunter JPJ.

Beliau turut memaklumkan JPJ sedang bekerjasama dengan Kementerian Pengangkutan untuk menambah baik proses audit, termasuk melalui pendigitalan atau kaedah lain yang lebih efisien.

Syarikat yang gagal audit diberi tempoh sebulan untuk memperbaiki kelemahan sebelum tindakan lanjut diambil, termasuk pembatalan permit. Pengendali yang berulang kali ingkar pula akan dirujuk kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk tindakan penguatkuasaan.

Dalam perkembangan lain, Aedy Fadly turut mengingatkan penganjur acara bermotor supaya mematuhi sepenuhnya peraturan jalan raya dan mendapatkan kebenaran rasmi daripada JPJ serta Polis Diraja Malaysia bagi mengelakkan insiden tidak diingini. – Bernama

Melissa Alias

Melissa Alias merupakan antara pelopor terawal meja editorial NAZZ&CO™ Media. Dengan kepakaran meluas dalam kewartawanan automotif, beliau telah mengendalikan ratusan liputan eksklusif pelancaran model baharu, analisis insiden jalan raya, dan laporan siaran media rasmi yang membentuk asas kukuh kewartawanan digital portal ini.
    2.7 Million+ Followers & Readers
    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD
    Privacy Policy Cookie Policy