Lotus Cars Malaysia memperkenalkan barisan terbaharu untuk model SUV elektrik berprestasi tinggi, Lotus Eletre, dengan harga permulaan dari RM499,000.
Sebagai SUV elektrik pertama Lotus, Eletre kini tampil dengan nama varian yang lebih ringkas iaitu Eletre 600 dan Eletre 900, selaras dengan kuasa output masing-masing. Setiap varian hadir dengan pakej peralatan tersendiri, sama ada lebih sporty atau lebih mewah berteknologi, bagi memudahkan pelanggan memilih mengikut gaya hidup mereka.
Dari segi prestasi, Eletre menawarkan kuasa sehingga 905 hp bergantung kepada varian, lengkap dengan suspensi udara adaptif, aerodinamik aktif dan sistem torque vectoring. Ia digabungkan dengan rekaan SUV berotot serta dinamik pemanduan yang sinonim dengan jenama Lotus.
Bahagian dalamannya pula menampilkan pilihan tema eksklusif menggunakan fabrik mesra alam LotusWear, sistem audio premium KEF, serta ciri moden seperti kawalan pendingin hawa empat zon.
Bahkan, model asas Eletre 600 dengan 603 hp mampu menawarkan jarak pemanduan sehingga 580 km, menjadikannya pakej lengkap untuk prestasi, keselesaan dan teknologi.
“Eletre kini menjadi tonggak utama pertumbuhan Lotus di Malaysia. Sejak diperkenalkan pada 2024, lebih 250 unit sudah berada di jalan raya, dan kami yakin dengan kehadiran 600 Series, angka ini akan terus meningkat,” kata Reza Mutalib, Pengarah Eksekutif dan Pengasas Karrus Automotive Group.
Antara varian yang ditawarkan termasuk:
Eletre 600 – RM499,000
Eletre 600 GT SE – RM569,000
Eletre 600 Sport SE – RM649,000
Eletre 900 Sport – RM769,000
Eletre 900 Sport Carbon – RM839,000
Tempahan sudah dibuka di bilik pameran Lotus di Glenmarie, Pavilion Damansara Heights dan Pulau Pinang, dengan penghantaran pertama dijangka bermula September 2025.