iCAUR 03 Dilancarkan di Malaysia – SUV Off-Road Elektrik, 2 Varian, Harga Bermula RM120k

iCAUR Malaysia telah melancarkan secara rasmi iCAUR 03, sebuah SUV elektrik off-road sepenuhnya yang pertama di Malaysia. 2 varian ditawarkan untuk pasaran Malaysia iaitu 2WD pada harga bermula RM119,800 dan iWD pada harga bermula RM129,800 (atas jalan tanpa insurans).

Dari segi reka bentuk, iCAUR 03 tampil dengan ukuran 4,406 mm panjang, 1,910 mm lebar, 1,715 mm tinggi dan jarak roda 2,715 mm. Ia memiliki ruang penyimpanan barangan di belakang berkapasiti 450 liter dan meningkat sehingga 1,238 liter sekiranya tempat duduk belakang dibaringkan sepenuhnya serta kotak kargo tambahan 40 liter di pintu belakang.

Di bahagian luar, dapat dilihat reka bentuk i-BOX bersama garisan tajam dan lampu LED dinamik. Bahagian hadapan dan belakang tampil dengan short overhangs, membolehkan sudut approach pada 28 darjah, departure 32 darjah serta kemampuan mendaki sehingga 55%.

Bahagian dalamannya dilengkapi skrin tengah 15.6 inci HD dengan pemproses Snapdragon 8155, kluster digital 9.2 inci, sokongan Android Auto & Apple CarPlay, serta sistem audio 12 pembesar suara INFINITY (untuk varian iWD). Ruang kabin menawarkan keselesaan dengan kerusi depan berfungsi ventilasi dan urut (iWD) dan tempat duduk belakang berpengudaraan.

Varian 2WD dipacu oleh motor gandar belakang dengan kapasiti bateri 65.7 kWj dan mampu menghasilkan 184 PS dan 220 Nm tork. Pecutan 0-100 km/j dalam masa 10.5 saat dengan kelajuan maksimum mencapai 150 km/j. Jarak perjalanan direkodkan mencecah 426 km (NEDC).

Varian iWD pula dipacu oleh pacuan dwi-motor dengan kapasiti bateri 69.8 kWj dan mampu menghasilkan 279 PS dan 385 Nm tork. Pecutan 0-100 km/j dalam masa 6.5 saat dengan kelajuan maksimum mencapai 150 km/j. Jarak perjalanan sedikit rendah berbanding 2WD iaitu 418 km (NEDC).

Untuk pengecasan, ia menyokong 80 kW DC fast charging serta 6.6 kW AC charging, selain sistem Vehicle-to-Load (V2L) 3.2 kW untuk bekalan elektrik kepada peralatan luaran. Bateri juga dilindungi oleh sistem perisai 4 lapisan IPX8, termasuk plat aluminium setebal 10 mm untuk memastikan keselamatan optimum.

Dari segi keselamatan, iCAUR 03 mempunyai sistem keselamatan iCARE yang melindungi penumpang dengan 6 beg udara dan ciri ADAS Tahap 2 seperti AEB, ACC, TJA, BSD, LDW, RCTA dan banyak lagi.

iCAUR 03 hadir dengan 5 pilihan warna iaitu Silver, Grey, White, Black dan warna signature Aurora Green. Terdapat juga warna istimewa Black Phantom Edition dengan kit badan eksklusif dan kemasan matte-black pada tambahan RM20,000.

Pemilik turut menerima perlindungan menyeluruh termasuk waranti kenderaan 7 tahun/150,000 km, waranti bateri & unit pacuan 8 tahun/160,000 km, program insurans iCARE bersama Allianz, Zurich, AIG, Etiqa dan lain-lain, serta jaminan penggantian bateri jika tahap kesihatan jatuh di bawah 70%.

Sebagai tawaran Early Bird (tempahan sebelum 17 September 2025), pelanggan akan menikmati 1 tahun caj tanpa had melalui rangkaian JomCharge, pakej gaya hidup bernilai RM3,000, serta pengecas Wallbox percuma bernilai RM3,400.

iCAUR 03 akan dipasang secara tempatan di kilang Chery Corporate Malaysia, Shah Alam bermula Januari 2026, selepas dilancarkan sebagai unit CBU. Jaringan selepas jualan juga bakal diperluaskan kepada 18 pusat jualan dan 9 pusat servis penuh menjelang September, termasuk Sabah dan Sarawak.

Gallery

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2023 Copyright. All Rights Reserved. NAZZNCO (M) SDN BHD