Sistem pelayan untuk inisiatif subsidi petrol Budi Madani RON95 (Budi95) mampu memproses sehingga 30,000 transaksi setiap minit, kata Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau menjelaskan kapasiti sistem ini ditingkatkan bagi mengelakkan gangguan teknikal seperti yang berlaku ketika pelaksanaan awal program Sumbangan Asas Rahmah (Sara).
“Budi95 mempunyai kapasiti pelayan yang jauh lebih besar. Jika Sara hanya mampu memproses 3,000 transaksi seminit, sistem baharu ini boleh mengendalikan lebih 10 kali ganda,” katanya pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan di Putrajaya, Jumaat.
Turut hadir, Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying serta Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican.
Anwar berkata, subsidi bersasar RON95 mencerminkan pendekatan Kerajaan Madani dalam menangani isu kebocoran dan penyeludupan petrol, sambil memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara.
Pada 22 September lalu, beliau mengumumkan harga RON95 diturunkan kepada RM1.99 seliter berbanding RM2.05 sebelum ini, berkuat kuasa 30 September menerusi skim subsidi bersasar Budi95.
Semua warganegara Malaysia yang memiliki lesen memandu sah layak menikmati subsidi ini. Berdasarkan data Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), lebih 16 juta rakyat dijangka menerima manfaat.
Mengulas dakwaan bahawa penggunaan MyKad ketika membeli petrol akan menyusahkan rakyat, Anwar menegaskan perkara itu tidak wajar dipertikaikan kerana sistem ini direka untuk memberi manfaat kepada majoriti rakyat Malaysia, sekali gus membolehkan mereka menikmati harga petrol antara yang terendah di rantau ini.
“Tiada sistem yang sempurna, tetapi Budi95 memberi manfaat kepada sebahagian besar rakyat,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa subsidi ini hanya untuk warganegara, sekali gus menghalang warga asing daripada menikmati harga petrol bersubsidi.
“Apabila kita turunkan harga untuk rakyat, kita perlu jelas siapa yang layak. Orang luar bukan rakyat kita dan tidak membayar cukai seperti kita. Jadi mereka tidak berhak ke atas subsidi ini,” katanya.
Warga asing yang menetap di Malaysia dengan kenderaan berdaftar tempatan masih boleh membeli petrol RON95 pada harga RM2.60 seliter, manakala kenderaan bernombor pendaftaran asing perlu mengisi RON97.
Anwar turut menasihatkan orang ramai supaya tidak panik atau tergesa-gesa apabila sistem Budi95 dilaksanakan pada 30 September.
Orang ramai disaran menyemak kelayakan subsidi RON95 menerusi portal www.budimadani.gov.my atau menghubungi talian bantuan di 1300-88-9595 untuk sebarang pertanyaan. – Bernama
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?
Pencabar Baharu Tesla, Xiaomi SU7 Menerima Tempahan Sebanyak 88,898 Unit Selepas 24 Jam Dilancarkan
Tiada Lagi Pinjaman Penuh untuk Beli Kereta?