Pemandu yang berdepan gangguan teknikal di stesen minyak dan terpaksa membayar harga RON95 tanpa subsidi boleh membuat tuntutan untuk mendapatkan semula perbezaan bayaran, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr Fuziah Salleh.
Beliau menjelaskan, sejak pelaksanaan inisiatif Budi Madani RON95 (BUDI95) pada Selasa lalu, sistem berjalan lancar di seluruh negara kecuali beberapa gangguan kecil yang berjaya diselesaikan segera.
“Memang ada aduan seperti gangguan sistem di sesetengah stesen, tapi masalah itu diselesaikan dengan cepat. Namun, jika ada pengguna yang terpaksa membayar harga tanpa subsidi akibat isu teknikal, mereka boleh buat tuntutan bayaran balik,” katanya.
Orang ramai dan syarikat boleh mengemukakan tuntutan bayaran balik bagi pembelian petrol RON95 tanpa subsidi antara 30 September hingga 31 Oktober melalui portal rasmi mysubsidi.kpdn.gov.my.
Permohonan perlu disertakan bukti pembelian seperti resit RON95, dan bagi syarikat, pendaftaran di bawah Skim Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) serta permohonan kad fleet perlu dibuat sebelum atau pada 31 Oktober untuk melayakkan mereka kepada skim tersebut.
Selepas proses semakan dan kelulusan oleh KPDN, bayaran balik akan dikreditkan ke akaun pemohon dalam tempoh 15 hari bekerja.
Sebarang pertanyaan lanjut boleh dibuat melalui talian pusat panggilan SKPS di 03-8882 5893 / 5894 / 5923 / 6667, atau e-mel ke bayaranbalikmysubsidi@kpdn.gov.my.
Fuziah turut memaklumkan bahawa setakat ini hanya 25% syarikat yang layak masih belum mendaftar di bawah SKPS sejak program BUDI95 dilancarkan.
“Sambutan masih perlahan, tapi kami sedang berhubung dengan persatuan seperti teksi dan pengusaha kenderaan untuk bantu mereka daftar segera supaya layak menerima subsidi.
Mereka yang mendaftar lewat masih boleh menuntut subsidi secara backdated dari 1 Oktober, asalkan ada resit pembelian,” jelasnya.
Beliau turut mengingatkan bahawa kenderaan asing tidak dibenarkan mengisi petrol RON95 bersubsidi, dan menyeru orang ramai melaporkan kepada kementerian sekiranya ternampak kes seperti itu. – The Star
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?
Pencabar Baharu Tesla, Xiaomi SU7 Menerima Tempahan Sebanyak 88,898 Unit Selepas 24 Jam Dilancarkan
Tiada Lagi Pinjaman Penuh untuk Beli Kereta?