passionately driven

Lagi Kes Warga Singapura Isi RON95 di Malaysia, KPDN Siasat

Lagi Kes Warga Singapura Isi RON95 di Malaysia, KPDN Siasat

Tular di media sosial seorang lelaki dipercayai warga Singapura dikesan mengisi minyak RON95, iaitu bahan api bersubsidi untuk rakyat Malaysia, ke dalam kereta Toyota Yaris Cross bernombor pendaftaran negara itu.

Kejadian tersebut dipercayai berlaku di sebuah stesen minyak di Jalan Storey, kira-kira 4.37 petang semalam, selepas gambar menunjukkan lelaki itu mengisi minyak dengan tenang tanpa rasa bersalah.

Tindakan itu mencetuskan kemarahan pengguna media sosial dari Malaysia dan Singapura yang menganggap perbuatan tersebut memperlekehkan undang-undang Malaysia, yang menetapkan kenderaan pendaftaran asing hanya dibenarkan mengisi RON97.

Seorang pengguna, Jack Boh, mencadangkan supaya pihak berkuasa menyekat kemasukan kenderaan terbabit di pintu sempadan.
“Nombor plat dah ada, di checkpoint boleh terus ban kereta ni masuk Malaysia,” tulisnya.

Pengguna lain, Lee Zi Kang, berpendapat warga Singapura berani berbuat demikian kerana tiada tindakan tegas atau penalti dikenakan.
“Atas sebab itu mereka masih isi RON95 tanpa rasa takut,” katanya.

Sementara itu, Awang Chik, seorang pengguna lain, mempersoalkan peranan petugas stesen minyak yang tidak menegur pelanggan berkenaan.
“Kalau rakyat Malaysia nak isi RON95, juruwang akan tanya pasal inisiatif BUDI95.
Patutnya masa tu dah boleh tahu pelanggan tu rakyat Malaysia atau tidak,” katanya.

Pengarah (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri) KPDN Johor, Lilis Saslinda Pornomo, mengesahkan siasatan sedang dijalankan berhubung kejadian itu.
“Jika terbukti berlaku pelanggaran arahan Pengawal Bekalan mengenai larangan menjual RON95 kepada kenderaan asing, tindakan akan diambil. Pengusaha stesen minyak boleh dikenakan tindakan di bawah Peraturan 12A Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974,” katanya.

Sumber: KOSMO!

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2025 NAZZNCO (M) SDN BHD