Lebih 54,000 Kes Kerosakan Jalan Dilaporkan Menerusi MYJalan

Lebih 54,000 Kes Kerosakan Jalan Dilaporkan Menerusi MYJalan

Aplikasi MYJalan merekodkan sebanyak 54,055 aduan berkaitan kerosakan jalan sepanjang tempoh Ogos 2023 hingga Januari 2026, kata Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Daripada jumlah tersebut, 16,671 aduan (30.8 peratus) melibatkan Jalan Persekutuan, lebuh raya dan jalan negeri di bawah seliaan Kementerian Kerja Raya (KKR). Selebihnya melibatkan jalan yang berada di bawah tanggungjawab kementerian atau agensi lain.

Menurut beliau, daripada aduan yang berada di bawah bidang kuasa KKR, sebanyak 15,160 kes telah diselesaikan manakala 1,511 lagi masih dalam tindakan dan siasatan. Aduan yang tidak berada di bawah kementerian itu pula akan disalurkan kepada pihak berkaitan bagi memastikan tindakan lanjut dapat diambil.

“Kita dalam kerajaan yang sama, jadi kita bantu antara satu sama lain untuk menyelesaikan masalah rakyat,” katanya ketika sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan tambahan Manndzri Nasib (BN-Tenggara) berhubung statistik terkini aduan MYJalan termasuk jumlah yang telah diselesaikan serta sama ada KKR turut menguruskan aduan melibatkan kementerian lain.

Dalam pada itu, Ahmad turut menjelaskan bahawa KKR mengamalkan prinsip ‘tiada pintu yang salah’, di mana semua aduan akan diterima tanpa mengira jenis jalan sama ada di kawasan bandar, kampung, pertanian, Sabah dan Sarawak atau jalan persendirian.

Menjawab soalan Jamaludin Yahya (PN-Pasir Salak) mengenai usaha mengelakkan kerosakan jalan berulang, beliau berkata penyelenggaraan Jalan Persekutuan dilaksanakan secara berjadual dan berterusan.

Penyelenggaraan rutin merangkumi kerja seperti menampal lubang, membersihkan longkang, menyelenggara bahu jalan, memotong rumput serta meningkatkan ciri keselamatan jalan raya. Kerja-kerja itu dilaksanakan oleh syarikat konsesi yang dilantik mengikut perjanjian penswastaan di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Selain itu, penyelenggaraan berkala dibahagikan kepada kerja turapan dan bukan turapan, dengan pelaksanaannya tertakluk kepada kelulusan peruntukan semasa.

Sumber: Awani

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD