NAZZ&CO Media

Malaysia's Automotive,
Travel & Lifestyle Media Powerhouse

Pemandu BMW Disyaki Langgar Penunggang Motosikal Hingga Maut Ditahan Polis

Pemandu BMW Disyaki Langgar Penunggang Motosikal Hingga Maut Ditahan Polis

KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang lelaki yang dipercayai memandu sebuah BMW dan terlibat dalam kemalangan maut membabitkan seorang penunggang motosikal di Jalan Tun Razak, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi, mangsa yang merupakan lelaki berusia 29 tahun sedang menunggang motosikal Yamaha 135LC di lorong kiri berhampiran Bangunan TH Selborn menghala ke Bulatan Pahang sebelum dipercayai dirempuh dari arah belakang oleh sebuah kereta BMW.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, impak pelanggaran menyebabkan mangsa tercampak ke atas jalan dan mengalami kecederaan serius di bahagian kepala.

Beliau berkata, Penolong Pegawai Perubatan Hospital Kuala Lumpur yang tiba di lokasi mengesahkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurutnya, pemandu kereta terbabit dipercayai meninggalkan lokasi sejurus selepas kemalangan tanpa berhenti untuk memberikan bantuan kepada mangsa.

“Hasil siasatan, polis berjaya mengesan kenderaan yang dipercayai terbabit dalam kemalangan tersebut. Siasatan mendapati kereta berkenaan merupakan sebuah kenderaan sambung bayar yang digunakan ketika kejadian,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Zamzuri berkata, suspek yang merupakan lelaki tempatan berusia 30 tahun kemudian hadir secara sukarela ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur kira-kira jam 6.30 petang bagi membantu siasatan.

Susulan itu, lelaki berkenaan ditahan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau berkata, suspek turut menjalani ujian pernafasan bagi mengesan kandungan alkohol serta saringan awal air kencing dan kedua-dua keputusan didapati negatif.

Katanya lagi, pihak polis kini sedang melengkapkan kertas siasatan sebelum dirujuk kepada pihak pendakwa raya bagi tindakan lanjut termasuk proses pertuduhan di mahkamah.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian atau menyaksikan kemalangan berkenaan diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.

Sumber: Berita Harian

Alym Asri

Sebagai Pengacara & Ketua Editorial NAZZ&CO™ Media, Alym Asri memiliki kepakaran meluas dalam pengendalian siaran langsung, interaksi audiens, dan promosi kandungan digital. Beliau merupakan nadi kreatif yang sentiasa memacu idea-idea inovatif untuk menghasilkan video berimpak tinggi dan terus relevan di pasaran.
    2.7 Million+ Followers & Readers
    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD
    Privacy Policy Cookie Policy