BENTONG – Tindakan tidak bertanggungjawab seorang pemandu pacuan empat roda memotong di kawasan garisan berkembar membawa padah apabila kenderaannya bertembung dengan sebuah motosikal, menyebabkan seorang lelaki maut dan seorang kanak-kanak cedera parah dalam kejadian tragis di Kilometer 15 Jalan Utama Mempaga, malam Selasa.
Kemalangan ngeri yang berlaku kira-kira jam 10.48 malam di hadapan Sekolah Menengah Agama Persekutuan itu melibatkan sebuah Toyota Hilux dan sebuah motosikal jenis Yamaha Y15ZR.
Impak rempuhan kuat berkenaan menyebabkan penunggang motosikal berusia 33 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar berkata, siasatan awal mendapati pemandu Toyota Hilux berusia 43 tahun itu sedang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menghala ke Raub sebelum bertindak memotong beberapa buah kenderaan lain di kawasan larangan.
“Pada ketika itu, Toyota Hilux dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menghala ke Raub dan pemandunya dipercayai memotong beberapa buah kenderaan di kawasan garisan berkembar apabila tiba di lokasi kejadian.”
“Kenderaan itu kemudian memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan motosikal yang datang dari arah bertentangan,” katanya dalam kenyataan media pada Rabu.
Akibat pelanggaran secara berdepan tersebut, mangsa mengalami kecederaan parah yang kritikal pada bahagian kepala serta anggota badan.
Sementara itu, pembonceng motosikal iaitu seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun mengalami kecederaan parah pada bahagian kaki kiri dan kini sedang menerima rawatan kecemasan di Hospital Bentong, manakala pemandu serta penumpang Toyota Hilux dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Polis mengesahkan punca kemalangan adalah disebabkan kecuaian pemandu pacuan empat roda tersebut yang memotong di garisan berkembar dan memandu secara melulu serta berbahaya.
Susulan itu, pemandu berkenaan telah ditahan bagi membolehkan pihak polis mengemukakan permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi membantu siasatan lanjut.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. Ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati keputusan negatif manakala sampel darah telah diambil untuk analisis lanjut,” jelas beliau lagi mengenai tindakan undang-undang yang sedang diambil terhadap suspek.
Zaiham turut menasihatkan semua pengguna jalan raya agar sentiasa mempunyai sikap bertanggungjawab, mematuhi peraturan lalu lintas, dan mengelakkan tindakan memandu secara berbahaya yang boleh mengancam nyawa pengguna jalan raya yang lain.
Sumber: Sinar Harian
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
5 Kereta Yang Ramai Menyesal Beli Di Malaysia (Menurut Pengalaman Pemilik)
Ramai Menyesal Beli SUV , Tapi Malu Nak Mengaku. Ini 6 Sebab Diorang Menyesal
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?