NAZZ&CO Media

Malaysia's Automotive,
Travel & Lifestyle Media Powerhouse

Proton Saga Rempuh Rumah Ibu Tunggal

Proton Saga Rempuh Rumah Ibu Tunggal

JOHOR BAHRU: Seorang ibu tunggal menarik nafas lega apabila tiada ahli keluarganya berada di rumah ketika sebuah Proton Saga terbabas lalu merempuh bilik tidur kediamannya di Kampung Melayu Pandan, semalam.

Rafizah Jonit, 51, berkata kejadian yang berlaku kira-kira jam 10 pagi itu hanya disedarinya selepas menerima panggilan daripada jiran yang memaklumkan rumahnya dirempuh sebuah kereta.

Menurutnya, ketika kejadian dia, anaknya serta abang telah keluar bekerja, sekali gus mengelakkan sebarang kejadian yang lebih buruk.

“Mujur kami semua sudah keluar bekerja. Kalau kejadian berlaku lebih awal, mungkin lain jadinya. Walaupun rumah rosak, saya tetap bersyukur kerana tiada sesiapa yang cedera,” katanya.

Rafizah yang bekerja sebagai kerani berkata, dia segera pulang ke rumah selepas menerima berita tersebut dan mendapati dinding papan bilik tidurnya mengalami kerosakan teruk, selain beberapa barangan di dalam bilik turut musnah akibat rempuhan itu.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat yang diterima daripada jiran, seorang wanita berusia lingkungan 50-an yang memandu Proton Saga dipercayai tersilap menekan pedal minyak sebelum kenderaan itu merempuh rumahnya.

“Kami masih tidak tahu sama ada pemandu akan menanggung kos membaiki kerosakan yang berlaku. Buat masa ini, kejadian ini memang menyusahkan kami,” katanya.

Menurut Rafizah, bahagian rumah yang rosak kini hanya ditutup menggunakan kanvas sementara menunggu kerja-kerja pembaikan dijalankan.

Beliau mengakui buntu memikirkan kos pembaikan memandangkan hanya bekerja sebagai kerani, manakala abangnya yang berusia 54 tahun mencari rezeki sebagai penghantar barangan.

Terdahulu, Rafizah turut menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Jaya, Chan San San, yang hadir meninjau keadaan rumah serta memberi sokongan kepada keluarga terbabit.

Sumber: Harian Metro

Alym Asri

Sebagai Pengacara & Ketua Editorial NAZZ&CO™ Media, Alym Asri memiliki kepakaran meluas dalam pengendalian siaran langsung, interaksi audiens, dan promosi kandungan digital. Beliau merupakan nadi kreatif yang sentiasa memacu idea-idea inovatif untuk menghasilkan video berimpak tinggi dan terus relevan di pasaran.
    2.7 Million+ Followers & Readers
    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD
    Privacy Policy Cookie Policy