NAZZ&CO Media

Malaysia's Automotive,
Travel & Lifestyle Media Powerhouse

Halusinasi Ada Pasangan Dalam Kereta, Warga Emas Didakwa Bakar Kenderaan

Halusinasi Ada Pasangan Dalam Kereta, Warga Emas Didakwa Bakar Kenderaan

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga emas dipercayai bertindak membakar sebuah kereta selepas berhalusinasi bahawa terdapat dua individu sedang melakukan hubungan intim di dalam kenderaan berkenaan. Kejadian itu dilaporkan berlaku di Jalan Midah 1, Cheras, pada Isnin lalu.

Lelaki tempatan berusia 62 tahun itu dipercayai melihat seorang lelaki warga asing bersama seorang wanita masuk ke dalam kereta terbabit sebelum menyangka kedua-duanya melakukan hubungan intim di dalamnya. Namun, kejadian tersebut dipercayai hanya berlaku dalam halusinasinya.

Ketuk Pintu Kereta Kerana Sangka Ada Orang Di Dalam

Difahamkan, suspek kemudiannya menghampiri kenderaan berkenaan dan mengetuk pintu kerana percaya terdapat individu di dalamnya. Tidak lama selepas itu, dia dipercayai bertindak mencampakkan bahan mudah terbakar ke bahagian bawah kereta sehingga menyebabkan kenderaan tersebut dijilat api.

Polis berjaya menahan suspek dalam tempoh kurang 24 jam selepas kejadian. Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, lelaki berkenaan ditahan di kawasan Desa Tun Razak bagi membantu siasatan.

Polis Temui Botol Cecair Disyaki Thinner

Menurut Mohd Rosdi, pemeriksaan terhadap kenderaan milik suspek menemukan sebotol cecair yang disyaki thinner. Bahan tersebut dipercayai digunakan sebagai bahan bakar untuk menyebabkan kereta berkenaan terbakar. Ketika kejadian, suspek yang bekerja sebagai tukang paip juga dipercayai berada di bawah pengaruh dadah.

Semakan mendapati lelaki berkenaan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau. Bagaimanapun, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.

Direman Dan Kemudiannya Didakwa

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan api. Jika disabitkan kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 14 tahun serta denda. Suspek sebelum ini direman selama tiga hari, bermula Rabu hingga Jumaat lalu bagi membantu siasatan.

Kertas siasatan kemudiannya dirujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya, sebelum polis menerima arahan untuk mendakwa lelaki tersebut mengikut seksyen yang sama. Lelaki itu kemudiannya dihadapkan ke Mahkamah Majistret Jalan Duta, Kuala Lumpur pada Jumaat lalu. Bagaimanapun, tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dikenakan.

Mahkamah kemudian memerintahkan lelaki berkenaan ditahan di Penjara Sungai Buloh sementara menunggu sebutan semula kes yang dijadualkan pada 26 Oktober.

Sumber: Berita Harian

Alym Asri

Sebagai Pengacara & Ketua Editorial NAZZ&CO™ Media, Alym Asri memiliki kepakaran meluas dalam pengendalian siaran langsung, interaksi audiens, dan promosi kandungan digital. Beliau merupakan nadi kreatif yang sentiasa memacu idea-idea inovatif untuk menghasilkan video berimpak tinggi dan terus relevan di pasaran.
    2.7 Million+ Followers & Readers
    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD
    Privacy Policy Cookie Policy