PERAI, 17 September – Tindakan seorang remaja lelaki berusia 14 tahun memandu sebuah kereta tanpa kelayakan berakhir dengan kemalangan selepas kenderaan berkenaan merempuh dua kereta di sekitar Taman Chai Leng, di sini, Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, ACP Nik Aminuddin Raja Abdullah berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 4.50 petang dan melibatkan dua lokasi berasingan.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati remaja tersebut memandu dari Lorong Kurau 23 menghala ke Jalan Kurau 1 sebelum kenderaan dipandunya melanggar sebuah kereta yang diletakkan di bahu jalan.
“Selepas itu, pemandu berkenaan meneruskan perjalanan sebelum dipercayai masuk ke laluan bertentangan di Lebuh Kurau 5.
“Dia kemudian melanggar sebuah lagi kereta yang sedang bergerak di laluan yang betul,” katanya dalam satu kenyataan media pada Rabu.
Kemalangan berkenaan menyebabkan kerosakan pada ketiga-tiga kenderaan terbabit. Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian tersebut.
Polis menerima laporan mengenai insiden itu kira-kira jam 8.47 malam pada hari sama selepas rakaman kejadian tersebar di media sosial.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 berkaitan kesalahan memandu secara melulu dan membahayakan pengguna jalan raya.
Dalam pada itu, Nik Aminuddin mengingatkan ibu bapa dan penjaga supaya lebih peka terhadap aktiviti anak-anak, khususnya dengan memastikan mereka yang masih bawah umur tidak diberikan kebenaran untuk memandu kenderaan.
Katanya, tindakan membenarkan golongan bawah umur memandu bukan sahaja melanggar undang-undang, malah boleh mengundang risiko kepada keselamatan diri sendiri dan pengguna jalan raya lain.
Sebelum ini, video berdurasi kira-kira 45 saat yang tular di media sosial menunjukkan sebuah kereta dipercayai dipandu seorang remaja bawah umur merempuh beberapa objek termasuk kenderaan dan tiang di kawasan medan selera Taman Chai Leng.
Rakaman tersebut turut menunjukkan beberapa orang awam cuba menghentikan kenderaan terbabit sebelum mendapati pemandunya merupakan seorang remaja lelaki berusia 14 tahun.
Siasatan polis berhubung kejadian masih dijalankan.
Sumber: Berita RTM
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
5 Kereta Yang Ramai Menyesal Beli Di Malaysia (Menurut Pengalaman Pemilik)
Ramai Menyesal Beli SUV , Tapi Malu Nak Mengaku. Ini 6 Sebab Diorang Menyesal
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?