Satu inisiatif baru oleh Jabatan Pengangkutan Jalanraya (JPJ) telah diumumkan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke iaitu perkhidmatan pembatalan pendaftaran pemilikan kenderaan motor oleh pemilik berdaftarnya secara atas talian yang diberi nama Sistem Pembatalan Pendaftaran Kenderaan Motor Secara Atas Talian (Online Motor Vehicles De-Registration System) ataupun e-Dereg.
Mana-mana pemilik yang ingin melupuskan kenderaan miliknya kini tidak perlu lagi ke kaunter JPJ dan boleh melengkapkan proses pembatalan pendaftaran secara atas talian sahaja melalui sistem ini, menurut Kementerian Pengangkutan.
“Melalui sistem ini pelbagai pihak dapat menangani isu dan masalah daripada lambakan kenderaan terbiar dan buruk di kawasan perumahan melalui cara pelupusan di mana-mana fasiliti Rawatan Automotif Berlesen (AATF) oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS).
“Sebagai permulaaan, sistem ini akan dilaksanakan oleh Car Medic Sdn. Bhd. yang telah mempunyai lesen pengoperasian AATF tersebut. Menteri MOT turut menyeru orang ramai yang ingin membuat proses pembatalan pendaftaran atas talian dan melupuskan kenderaan tersebut boleh berhubung terus dengan syarikat tersebut di Bandar Kajang, Semenyih,” kata MOT menerusi kenyataan yang dikeluarkan.
Kredit Imej : Berita Harian
Menurut laporan dari Berita Harian, sudah lama isu lambakan kereta lusuh dan terbiar di kawasan perumahan membelenggu pihak berkuasa tempatan (PBT) serta penduduk setempat, jelas Loke.
“Antara perkara yang menyebabkan pemilik kenderaan tidak berminat menyelesaikan isu kenderaan terbiar adalah kerumitan proses bagi melupuskan kenderaan dengan teratur. Pihak PBT juga menghadapi cabaran yang sama dalam menguruskan kenderaan terbiar berkenaan.
“Mengambil kira perkara ini, sistem e-Dereg akan membolehkan mana-mana pemilik asal yang berhasrat melupuskan kenderaan melengkapkan proses pembatalan pendaftaran secara atas talian, tanpa perlu hadir di kaunter JPJ lagi,” katanya.
Setakat ini, 10 syarikat telah diberikan lesen untuk beroperasi sebagai AATF oleh JAS namun hanya 2 syarikat sahaja yang telah beroperasi sepenuhnya iaitu Car Medic dan Jaring Metal Industries Sdn Bhd di Shah Alam.
Untuk permulaan, pemilik kenderaan hanya perlu menghubungi pihak Car Medic untuk membuat temujanji bagi menunda kenderaan dan seterusnya pemilik perlu hadir ke premis Car Medic untuk proses pembatalan pendaftaran yang menggunakan sistem e-Dereg.
Tambah beliau, yuran penundaan kereta akan ditanggung sepenuhnya oleh pihak Car Medic dan token pampasan akan diberikan kepada pemilik bergantung kepada keadaan dan kondisi kereta terbabit serta jarak lokasi tunda. Pemilik kenderaan akan diberi jaminan jika menggunakan khidmat AATF, semua proses akan dijalankan mengikut lunas undang-undang.
“Proses pelupusan kenderaan akan dijalankan dengan teratur dan selamat untuk alam sekitar dan pemilik pula akan dijamin bahawa kenderaan mereka dilupuskan dengan cara betul. Ini juga menjamin kenderaan atau komponen yang dilupuskan itu tidak digunakan untuk kegiatan jenayah atau digunakan semula dengan cara yang salah. Ini kerana kedai besi buruk atau kedai potong tidak ada sistem untuk menyah-daftar kenderaan,” katanya.
Selain pemilik asal berdaftar, PBT juga boleh menganjurkan program pemutihan dan pengurusan kenderaan terbiar dalam kawasan masing-masing menggunakan sistem ini, ujar Loke. Walau bagaimana pun, program tersebut masih perlu membabitkan pemilik berdaftar asal bagi tujuan pembatalan kenderaan.
Sumber : Berita Harian