passionately driven

Pakar Jangka Penyasaran Subsidi RON95 Mula Bulan Ini – 30 sen Meningkat, RM2.35

Memetik dari laporan Bloomberg, penyasaran subsidi bahan api bagi petrol RON95 mungkin akan dimulakan dalam bulan ini oleh kerajaan Malaysia bagi mencapai sasaran defisit yang telah ditetapkan.

Menurut Ketua Pakar Ekonomi Malaysia bagi pihak Citigroup, Wei Zheng Kit, perbelanjaan fiskal Malaysia bagi 5 bulan pertama tahun 2024 telah melebihi tahap perbelanjaan pada tempoh sama tahun lalu dan mencapai had 53.9% dari sasaran tahunan yang telah ditetapkan untuk tahun ini.

Untuk memenuhi sasaran defisit negara, penyasaran subsidi bahan api petrol berkemungkinan besar dijangka akan dilaksanakan pada bulan ini.

Laporan tersebut juga mendedahkan defisit belanjawan Malaysia kini adalah 5% dari GDP pada tahun lalu dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mensasarkan untuk merendahkan lagi angka tersebut kepada 4.3% dengan mengurangkan subsidi untuk menarik lebih banyak pelaburan ke dalam negara.

Pada tahun lalu, sekitar RM81 billion telah diperuntukan untuk subsidi dan sebahagian besar telah digunakan untuk mengekalkan harga petrol RON95 pada RM2.05 seliter dan diesel pada RM2.15 seliter. Dijangkakan sebanyak RM4 bilion setahun dapat dijimatkan melalui rasionalisasi diesel yang baru dimulakan pada bulan lepas.

Menurut pengiraan Citi, tambahan sebanyak RM3 hingga RM4 bilion dapat dijimatkan lagi jika harga petrol RON95 dinaikkan 30 sen kepada RM2.35 seliter pada bulan ini. Jangkaan ini dibuat secara ansuran berdasarkan harga pasaran dan bukan kenaikan harga drastik.

Walau bagaimanapun, ini hanyalah kiraan dari sudut ekonomi sahaja dan masih perlu dikaji serta dinilai lagi akan keberkesanannya terhadap semua pihak berkepentingan. Ada juga sesetengah penganalisis percaya pemotongan subsidi RON95 hanya boleh dilakukan pada hujung tahun 2024.

Sehingga kini, masih belum ada petanda jelas dari kerajaan bila penyasaran subsidi bahan api RON95 akan dijalankan. Namun, berdasarkan kenyataan Rafizi Ramli tempoh hari, kerajaan akan menggunakan strategi yang sama dengan penyasaran subsidi diesel pada bulan lepas di mana tiada pengumuman awal akan dilakukan.

 

Sumber : Paultan | Bloomberg 

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2023 Copyright. All Rights Reserved. NAZZNCO (M) SDN BHD