Akibat hujan lebat yang melanda negara beberapa hari ini, terowong pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Kampung Banggol Pak Esah, Kelantan telah dilanda banjir dan telah menjejaskan lebih 1,000 penduduk kampung tersebut.
Seorang penduduk yang dikenali sebagai Azrin Mohamad, berkongsi detik cemas ketika terowong tersebut dinaiki air bermula dengan hujan lebat berterusan pada 8.30 malam semalam. Air setinggi 0.6 meter mula bertakung di dalam terowong sehingga kenderaan ringan tidak boleh dilalui, menurut laporan Sinar Harian.
“Penduduk menggunakan laluan utama ini untuk keluar dan masuk dari Kampung Banggol Pak Esah ke Bukit Abal.
“Sejak dua tahun lepas, kami berkali-kali berdepan masalah sama, terbaru bermula semalam (Khamis) air dalam terowong semakin tinggi kerana hujan masih berterusan,” katanya.
Aduan telah dibuat kepada pihak berkuasa beberapa kali namun tiada tindakan atau jalan penyelesaian dilakukan. Lebih parah, penduduk kampung terpaksa menggunakan laluan alternatif lain yang 5 km lebih jauh untuk keluar ke jalan utama.
“Terowong sepanjang 9.1 meter ini dibina lebih rendah 0.9 meter dari aras jalan menyebabkan hujan akan melalui terowong dan terperangkap di dalamnya menjadi seperti kolam.
“Masalah boleh selesai jika jalan di dalam terowong ditinggikan menjadi sama aras dengan jalan di luar terowong,” ujarnya.
Selain itu, seorang lagi penduduk, Ahmad Sanusi Shamsudin, turut meluahkan perasaan risau kerana jika hujan berterusan selama 2 hingga 3 hari, rumah penduduk pula akan tenggelam dengan paras air sehingga 0.5 meter.
Dia yang bekerja sebagai penoreh getah memberitahu, lebih teruk apabila sungai yang menjadi laluan air sebelum ini sudah ditimbus dengan tanah bagi pembinaan ECRL.
“Walaupun mereka membina laluan air yang lain tetapi tidak cukup untuk menampung kapasiti hujan.
“Lebih 20 rumah penduduk terjejas banjir, walhal sebelum projek terbabit bermula dua tahun lalu, kediaman penduduk tak pernah tenggelam,” katanya.