Melanggar lampu isyarat merah telah dikesan merupakan kesalahan paling tinggi sepanjang Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor melaksanakan operasi khas sempena Hari Raya Aidilfitri sejak 24 Mac lalu.
Bukan hanya penunggang motosikal yang kerap melakukan tindakan tidak bertanggungjawab itu, malah pemandu kereta juga dikesan gemar melanggar lampu isyarat merah.
Mahu cepat pulang beraya merupakan alasan paling kerap dan popular diberikan, selain tidak sedar lampu isyarat telah bertukar merah dan tidak sabar menunggu giliran di simpang, lapor Sinar Harian.
Menurut Pengarah JPJ Selangor, Azrin Borhan, melanggar lampu isyarat merah bukan sahaja melanggar undang-undang, malah menjadi punca utama kemalangan jalan raya berlaku.
“Sepanjang Ops Hari Raya yang berlangsung dari 24 Mac hingga hari ini, JPJ telah mengesan kesalahan paling tinggi iaitu melanggar lampu isyarat merah.
“Tindakan ini sangat membimbangkan kerana ia menunjukkan ada segelintir pengguna jalan raya yang langsung tidak mempedulikan keselamatan diri dan pengguna lain,” katanya.
Untuk mencegah tindakan tidak bertanggungjawab ini, JPJ Selangor telah memberi hebahan tentang kepentingan mematuhi peraturan lalu lintas serta menempatkan beberapa anggota penguatkuasa di lokasi hotspots.
Lebih menarik, JPJ Selangor kini juga menggunakan taktik penyamaran di mana anggota yang bertugas tidak akan memakai seragam uniform untuk memantau pematuhan sebenar pengguna jalan raya.
“Langkah penyamaran ini sangat berkesan kerana ia memberi kejutan kepada pengguna yang sebelum ini berani melanggar undang-undang ketika tiada penguat kuasa.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap semua pengguna yang melakukan kesalahan berjadual termasuk melanggar lampu isyarat, memandu di lorong kecemasan dan menggunakan telefon bimbit ketika memandu,” katanya.
6 kesalahan utama akan diberi tumpuan sepanjang operasi khas ini berlangsung dan pesalah boleh dikenakan kompaun sebanyak RM300.
“JPJ tidak akan berkompromi dalam isu keselamatan jalan raya, terutamanya ketika musim perayaan yang menyaksikan pertambahan kenderaan setiap hari.
“Pengguna jalan raya diminta memastikan kenderaan dalam keadaan baik, mendapat rehat mencukupi sebelum memulakan perjalanan dan sentiasa patuhi undang-undang jalan raya,” katanya.
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?
Pencabar Baharu Tesla, Xiaomi SU7 Menerima Tempahan Sebanyak 88,898 Unit Selepas 24 Jam Dilancarkan
Tiada Lagi Pinjaman Penuh untuk Beli Kereta?