Kementerian Pengangkutan (MOT) melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melancarkan operasi besar-besaran dikenali sebagai “Perang Lebih Muatan Melibatkan Kenderaan Perdagangan”, bermula semalam hingga 31 Disember ini.
Langkah ini diambil bagi menangani isu ketidakpatuhan dan sikap sambil lewa pengusaha serta pemandu kenderaan perdagangan yang membawa muatan berlebihan, sekali gus menjejaskan keselamatan jalan raya.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata operasi penguatkuasaan bersepadu itu dijalankan di lima zon utama — Utara, Tengah, Selatan, Timur dan Borneo.
“Setiap negeri akan menggerakkan empat pasukan penguat kuasa, menjadikan sebanyak 12 pasukan aktif di setiap zon, dengan tempoh pelaksanaan tujuh hari berturut-turut bagi setiap siri operasi,” katanya ketika berucap selepas Majlis Perhimpunan dan Ikrar Bebas Rasuah JPJ semalam.
Menurut beliau, fokus utama operasi kali ini ialah kawasan ‘hotspot’ melibatkan kenderaan perdagangan berisiko tinggi yang sering membawa muatan berat seperti batu, pasir, tanah, silika, arang batu, besi, sawit dan kayu balak, terutamanya di kawasan kuari, pelabuhan serta sektor industri berat.
Loke menegaskan bahawa tiada kompromi akan diberikan kepada mana-mana pihak yang melanggar had muatan yang ditetapkan di bawah syarat lesen.
“JPJ tidak akan bertolak ansur terhadap mana-mana pemandu, pemilik atau syarikat pengangkutan yang cuai serta mengabaikan keselamatan awam hingga menyebabkan kerosakan jalan atau kemalangan,” katanya.
Dalam masa yang sama, MOT turut mengarahkan JPJ dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) memperkenalkan kerangka pentadbiran baharu untuk memperkukuh tindakan terhadap syarikat pengendali berisiko tinggi.
Melalui sistem baharu ini, pesalah berulang bukan sahaja akan disaman oleh JPJ, malah permit kenderaan atau lesen pengendali syarikat boleh digantung atau dibatalkan oleh APAD.
“Pendekatan ini bagi membanteras sikap segelintir pengendali yang menganggap saman sebagai sebahagian daripada kos operasi. Kami mahu setiap syarikat bertanggungjawab terhadap keselamatan dan pematuhan undang-undang pengangkutan,” jelasnya.
Langkah ini turut diambil susulan hasil Operasi Khas Pemeriksaan dan Audit Keselamatan (JISA) antara 23 Jun hingga 31 Julai lalu yang mendapati 54.43 peratus daripada 500 syarikat pengendali berisiko tinggi gagal mematuhi peraturan.
“Angka ini membuktikan tahap ketidakpatuhan yang serius dan memerlukan tindakan tegas bagi memperkukuh mekanisme penguatkuasaan,” tambahnya.
Anthony Loke turut menegaskan bahawa beliau tidak akan berkompromi dengan mana-mana pengendali atau pemandu yang membawa muatan melebihi had ditetapkan.
“Saya tidak boleh bersabar lagi. Terlalu banyak kemalangan melibatkan kenderaan berat yang berpunca daripada lebih muatan dan pemanduan berkelajuan tinggi,” katanya tegas. – Bernama
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?
Pencabar Baharu Tesla, Xiaomi SU7 Menerima Tempahan Sebanyak 88,898 Unit Selepas 24 Jam Dilancarkan
Tiada Lagi Pinjaman Penuh untuk Beli Kereta?