NAZZ&CO Media

Malaysia's Automotive,
Travel & Lifestyle Media Powerhouse

JPJ Jangka Hasil Kutipan Tahun Ini Lebih Tinggi, Peningkatan Sehingga 5%

JPJ Jangka Hasil Kutipan Tahun Ini Lebih Tinggi, Peningkatan Sehingga 5%

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menjangkakan kutipan hasil tahun ini akan mengatasi pencapaian tahun lalu dengan peningkatan antara tiga hingga lima peratus.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, pengumuman mengenai jumlah penuh kutipan akan dibuat hujung tahun selepas semua data dimuktamadkan.

Menurutnya, setakat ini kutipan JPJ bukan sahaja mencapai sasaran, malah telah melepasi angka tahun sebelumnya.

“Setiap tahun biasanya ada peningkatan sekitar tiga hingga lima peratus,” katanya pada majlis penghargaan media semalam.

Beliau turut memaklumkan bahawa JPJ kekal sebagai antara penyumbang hasil tertinggi negara, selepas Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Aedy Fadly juga berkongsi bahawa tahun depan merupakan ulang tahun ke-80 JPJ, dengan sambutan berskala besar dirancang pada April 2026.

Mengulas situasi banjir di beberapa negeri, beliau berkata JPJ telah menggerakkan pasukan bencana di seluruh negara untuk membantu mangsa banjir, termasuk di negeri-negeri yang tidak terjejas secara langsung. Setiap negeri kini mempunyai pasukan khas yang bersiap siaga dan digerakkan berdasarkan keperluan.

Sebagai contoh, JPJ Kedah dihantar ke Perlis untuk membawa aset seperti lori bagi menyalurkan bantuan kepada penduduk. Pasukan JPJ turut membantu pelajar sekolah yang terkandas akibat paras air meningkat.

Beliau menegaskan bahawa walaupun JPJ bukan agensi utama operasi menyelamat, jabatan itu berperanan sebagai penyokong kepada agensi lain dalam misi kemanusiaan. JPJ juga memberi perhatian kepada kebajikan anggota mereka yang terjejas dengan bencana dan akan menyalurkan bantuan sewajarnya. – Bernama

Melissa Alias

Melissa Alias merupakan antara pelopor terawal meja editorial NAZZ&CO™ Media. Dengan kepakaran meluas dalam kewartawanan automotif, beliau telah mengendalikan ratusan liputan eksklusif pelancaran model baharu, analisis insiden jalan raya, dan laporan siaran media rasmi yang membentuk asas kukuh kewartawanan digital portal ini.
    2.7 Million+ Followers & Readers
    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD
    Privacy Policy Cookie Policy