TUMPAT – Tindakan sebuah Proton Wira dipercayai membuat pusingan U secara mengejut mengundang padah apabila seorang penunggang motosikal maut dalam kemalangan di Kampung Bunohan, petang Selasa.
Dalam kejadian sekitar jam 6.30 petang itu, mangsa yang berusia 29 tahun menunggang sebuah Yamaha RXZ sebelum merempuh bahagian kanan Proton Wira berkenaan.
Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Mohd Khairi Shafie berkata, siasatan awal mendapati mangsa sedang dalam perjalanan dari Chabang Empat menuju ke Kampung Banggol Beta melalui Jalan Tumpat-Pasir Mas.
Menurut beliau, sebaik tiba di lokasi kejadian, Proton Wira yang berada di hadapan motosikal mangsa dan bergerak dalam arah yang sama dipercayai membuat pusingan U secara tiba-tiba.
“Akibatnya, mangsa tidak sempat membrek atau mengelak lalu melanggar bahagian sisi kanan kenderaan tersebut,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, impak pelanggaran menyebabkan mangsa mengalami kecederaan serius sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Katanya lagi, hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa adalah kecederaan pelbagai akibat nahas jalan raya.
Siasatan polis turut mendapati pemandu Proton Wira dipercayai meninggalkan lokasi selepas kemalangan berlaku dan usaha mengesannya kini sedang diteruskan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat di talian 09-7257222 atau tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Sumber: Sinar Harian
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
5 Kereta Yang Ramai Menyesal Beli Di Malaysia (Menurut Pengalaman Pemilik)
Ramai Menyesal Beli SUV , Tapi Malu Nak Mengaku. Ini 6 Sebab Diorang Menyesal
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?