Kementerian Pengangkutan telah memberi peringatan pada Ahad lalu bahawa lesen pengoperasian akan ditarik sekiranya mana-mana institut memandu didapati melakukan gejala lesen terbang atau pun pakej gerenti lulus dengan menerima rasuah.
Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, lesen terbang bukanlah satu benda yang baharu malah ia telah dilakukan sejak dahulu lagi oleh institut memandu dan masih lagi berleluasa sehingga hari ini. Terbaharu, dua pembantu penguat kuasa kanan sebuah agensi kerajaan telah ditahan kerana dipercayai terlibat dalam kes pakej gerenti lulus.
Wang tunai berjumlah RM1,750 dan RM750 telah diterima masing-masing sebagai rasuah untuk memastikan calon lulus ujian memandu. Seorang wanita yang merupakan pekerja sambilan dan seorang pengajar lelaki telah ditahan di institut memandu yang sama sebelum penahanan dua pembantu penguat kuasa kanan terbabit.
Sementara itu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengambil inisiatif dengan memperkenalkan kaedah Sistem Latihan dan Pengujian Memandu Secara Elektronik (eTesting) untuk mencegah dan membanteras gejala lesen terbang serta meningkatkan lagi integriti semasa proses pengujian.
Menyasarkan menjelang tahun 2030 semua institut memandu akan menggunakan kaedah eTesting, sistem ini hanya memerlukan seorang calon sahaja di dalam kereta untuk menjalani ujian memandu dan prestasi akan diukur menggunakan alat sensor dan kamera di mana keputusan akan dikeluarkan secara terus.
Dengan tiadanya interaksi di antara calon dan pegawai JPJ, pastinya akan menghentikan segala gejala lesen terbang dan rasuah serta proses pengauditan yang lebih mudah dilakukan.
Sumber : Sinar Harian