smart #5 Diperkenalkan di Malaysia – 3 Varian, Jarak Tertinggi 590 km, Bakal Lancar Tak Lama Lagi

Selepas melancarkan smart #1 dan smart #3, smart Malaysia kini mendedahkan spesifikasi penuh smart #5 yang akan dilancarkan tak lama lagi di Malaysia. Pra-tonton pertama model ini telah pun diadakan ketika Malaysia Autoshow 2025, di mana 3 varian akan ditawarkan untuk pasaran Malaysia iaitu Pro, Premium dan Brabus.

smart #5 menampilkan rekaan bentuk yang lebih kotak dengan ukuran 4,705 mm panjang, 1,920 mm lebar, 1,705 mm tinggi dengan jarak antara roda 2,900 mm. Dengan ruang simpanan belakang 1,530 liter, ruang depan 72 liter, dan 34 ruang simpanan pintar, ia sesuai untuk gaya hidup moden.

Reka bentuk luaran diserikan dengan cermin sisi dua tona, logo terapung pada rim, bumbung panoramik, pintu tanpa bingkai serta perincian menarik seperti ‘easter egg’ yang menambah karakter dan gaya.

Bahagian dalamnya hadir dengan mod Comfort, di mana dengan satu sentuhan sudah boleh melaraskan tempat duduk untuk bersantai. Ia dilengkapi dengan kemasan kayu oak, ambient lighting dengan 256 pilihan warna, dan tempat duduk belakang yang boleh dilipat menjadi ruang rehat sebesar katil king.

Paparan dalam kabin dikuasakan oleh cip AMD V2000 menggunakan Unreal Engine untuk pengalaman digital yang lancar. Ia menampilkan paparan AR 25.6 inci dan dua skrin AMOLED 13 inci. Pembantu AI bernama Leo boleh dikawal dengan suara. Sistem audio premium 20-pembesar suara Sennheiser dengan pembesar suara boleh naik memberikan pengalaman bunyi yang memukau.

Dalaman Brabus

Varian Pro didatangkan dengan pek bateri LFP berkapasiti 76 kWj yang mampu menghasilkan 340 PS dan 373 Nm tork. Pecutan 0-100 km/j dalam masa 6.9 saat dengan jarak gerak mencapai 465 km (WLTP).

Bagi pengecasannya, ia boleh dicas menggunakan pengecas AC berkapasiti 11 kW dengan mencapai status pengecasan 10% hingga 80% dalam masa sekitar 8.5 jam. Bagi pengecas pantas DC pula, ia menyokong sehingga 150 kW dan boleh mencapai status pengecasan 10% hingga 80% dalam masa 30 minit.

Varian Premium pula didatangkan dengan pek bateri NCM berkapasiti 100 kWj yang mampu menghasilkan 363 PS dan 373 Nm tork. Pecutan 0-100 km/j dalam masa 6.5 saat dengan jarak gerak mencapai 590 km (WLTP).

Varian Brabus adalah All-Wheel Drive (AWD), jadi ia mampu menghasilkan tujahan kuasa yang lebih tinggi iaitu 646 PS dan 710 Nm tork. Pecutan 0-100 km/j dalam masa 3.8 saat dengan jarak gerak mencapai 540 km (WLTP).

Pengecasan bagi kedua-dua varian Premium dan Brabus adalah sama di mana ia boleh dicas menggunakan pengecas AC berkapasiti 22 kW dengan mencapai status pengecasan 10% hingga 80% dalam masa sekitar 4.5 jam. Bagi pengecas pantas DC pula, ia menyokong sehingga 400 kW dan boleh mencapai status pengecasan 10% hingga 80% dalam masa 15 minit.

Untuk laluan mencabar, ia menawarkan mod pemanduan khas seperti PasirSaljiLumpurBatu, dan Adaptif. Ia juga dilengkapi soket 3.3kW V2L yang boleh digunakan untuk peralatan elektronik semasa aktiviti luar.

Varian Premium ditawarkan dalam empat pilihan warna dengan bumbung hitam Eclipse Black dan kabin Shadow Black. Untuk Brabus, ia hadir dengan bumbung sama dan dalaman hitam, manakala warna badan utama termasuk Atom Grey Matte, Meta Black dan Digital White. Tempat duduk coklat pada unit pratonton Premium hanyalah versi pra-produksi.

smart Malaysia masih belum mendedahkan sebarang tanda harga atau anggaran harga namun dijangka smart #5 akan dijual pada harga yang lebih tinggi berbanding dengan smart #1 dan smart #3. Sama-sama kita nantikan pelancaran rasminya.

Gallery

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2023 Copyright. All Rights Reserved. NAZZNCO (M) SDN BHD